Cemas.
Berkali-kali Rasheeda menguap. Sekejap sekejap kelopak mata tertutup. Sekejap sekejap kepala diangguk-angguk tanda ‘faham’ segala macam penerangan Ustaz Sameh Ahmad. Warna kulit ustaz makin lama dilihatnya makin cerah. Suara ustaz dirasanya semakin menjauh.
“Pap!”, Asma’ menepuk kecil bahunya.
“Ash, bangun lah..Ustaz tenung kau semacam dah”, Asma’ berbisik.
Rasheeda terpinga-pinga. Dilihatnya Asma’ menahan ketawa sambil menekap tangannya ke mulut. Rasheeda pandang Ustaz pula. Ustaz hanya tunduk dengan khusyuk mengadap buku rujukan kelas Bahasa Arab mereka sambil bibirnya lancar memberi syarahan dalam Bahasa Arab.
“Kurang asam punya kawan kacau aku tidur!”, Rasheeda hanya membebel dalam hati.
Dalam banyak-banyak kelas Bahasa Arab, kelas Ustaz Sameh la dia selalu tidur. Mana tidaknya, mereka semua duduk dan dengar sahaja butir bicara Ustaz. Itulah kaedah tradisional yang Ustaz suka aplikasikan dalam kelas.
Cuma yang paling dia gerun bila Ustaz menyuruh seorang demi seorang membaca beberapa perenggan teks dan juga menjawab soalan-soalan yang terdapat dalam buku rujukan. Mau tak gerun bila dia selalu terlelap ketika Ustaz mengajar, mana la tau waktu gilirannya sampai dia terkantoi tidur dalam kelas.
Sambil menunggu gilirannya membaca teks dan jawapan, sempat tangan Rasheeda meraba-raba telefon bimbitnya dalam beg. Rasheeda tidak suka bawa kotak pensil. Alat tulis yang diperlukannya hanya disumbat sekali dengan buku-buku ke dalam beg. Jadi isi kandungan beg agak bersepah dan bercampul gaul. Makanya telefon bimbit juga entah ke mana tenggelam pergi.
Dua tiga kali juga dirabanya. Akhirnya jari jemari dia merasai gajet empat segi tepat di celah-celah buku rujukannya.
Skrin telefon dilihatnya penuh dengan missed call. Kesemuanya berjumlah 19 missed call. Dan 3 mesej. Butang unlock ditekan. Kandungan sms dibuka. Ayong rupanya menghantar mesej.
“Mak nazak. Doktor kata tak ada harapan lagi”.
19 missed call daripada Ayong dan juga Abah.
Hati Rasheeda berdebar-debar. Manik-manik jernih mula menitis satu persatu dari tubir mata. Walang sungguh hatinya. Semua dirasakan tidak kena. Disentuhnya Asma’ dengan genggaman terketar-ketar.
“Asma’, mak aku. Mak aku nazak, dia kat hospital sekarang”, ujarnya dengan penuh lemah.
Asma’ senyap seketika. Mungkin turut tergamam dengan situasi sahabatnya.
“Kau balik lah. Mintak dengan Ustaz untuk balik sekarang”, Asma’ memberi cadangan.
Tangannya menggigil menahan sebak. Macam-macam yang ditelahnya. Tidak sanggup rasanya menerima berita buruk tentang Mak.
Mak adalah panggilan yang dipanggil untuk neneknya. Adik beradik Rasheeda memanggil nenek sebelah Abahnya ini dengan panggilan ‘mak’ dan diikuti cucu-cucu lain. Melainkan anak saudara Abah sahaja iaitu anak-anak Ayah Mat semua panggil ‘mek’.
Mak bukan sekadar seorang nenda. Mak lah ibunya. Mak lah pendengar setianya. Mak lah kawan baiknya. Baginya mak lah segala-galanya. Sedari kecil lagi adik beradiknya dijaga Mak. Kencing berak, makan minum dan pakai semuanya diurus oleh Mak.
Mak bukan saja setaraf ibu mithali, bahkan mak merupakan penyambung silaturrahim saudara mara dan jiran tetangga. Tiada riuh suara Mak, tiadalah gelak ketawa Kak Lah sebelah rumah keluarga Rasheeda di kampung. Tiada ruh ukhuwwah Mak, tiadalah kerap saudara mara sudi berkunjung ke teratak Abah dan Ummi.
Mengenangkan itu, Rasheeda teringat kata-kata Mak dua bulan sebelumnya, ketika dia pulang ke kampung selepas sebulan berada di Pusat Asasi UIA. Mahu merasa naik bas waktu malam, niatnya. Kebetulan Nana mengajaknya balik bersama-sama. Apalagi, fikirnya mahu melunaskan hasrat yang tersimpan sejak sekolah menengah lagi.
Masih terngiang-ngiang lagi ayat-ayat Mak sewaktu dia mahu pulang kembali ke kampus.
“Entah kita dapat jumpa lagi atau tidak selepas ini”, bilang Mak.
Adakah ini petanda kita bakal berpisah Mak?
Rasheeda bangun perlahan-lahan, menuju ke meja Ustaz Sameh untuk meminta kebenaran keluar kelas awal. Suaranya seolah-olah tersekat di kerongkong. Dua kali ayat pertanyaan diulangi pada Ustaz. Rasheeda paksa juga dirinya melontar suara biarpun perlahan.
“أستاذ،أحتاج أن أرجع الآن لأن جدتي مريضة ”
“Ustaz, saya perlu pulang sekarang kerana nenek saya sakit”.
Ustaz tidak banyak soal dan memberi kebenaran untuk dia keluar lebih awal daripada biasa. Seisi kelas memandangnya dengan hairan kerana bicaranya hanya didengari Ustaz. Dia bergegas menyimpan buku dan pen ke dalam beg berjenama Levis nya, lalu menuju ke pintu belakang kelas tanpa menoleh lagi. Pucat lesi wajahnya dihurung kebimbangan dan keresahan.
“Mak, jangan tinggalkan Ash”.
Atur langkahnya semakin laju.
Meraung.
Ketika pintu bilik dibuka, Azizah seperti biasa meniarap di tengah-tengah bilik sambil mengadap buku-buku pelajarannya. Kertas nota berserakan sehingga ke bawah katilnya. Rasheeda lihat kedua telinganya ditekap dengan fon kepala. Azizah mengangguk-angguk kepalanya mengikut rentak muzik. Sesekali kedengaran suaranya menyanyi mengikut liriknya sendiri.
Rasheeda tidak menghiraukan teman sebiliknya itu. Beg dan buku diletakkan di atas katilnya. Dikuaknya pintu almari, menarik helaian demi helaian pakaian tanpa memilih sedikit pun. Mindanya tidak bermaya. Tidak mampu untuk mencerna logikal dan rasional. Kala ini, yang dia tahu hanya mahu pulang ke kampung secepat mungkin.
Tanpa dia sedari, teman sebiliknya menepuk perlahan bahu kirinya. Tangannya semakin pantas memasukkan pakaian ke dalam beg pakaian sederhana besar berwarna biru gelap. Degupan jantungnya semakin laju. Azizah menyentuh lagi bahunya. Kali ini dengan lebih berhati-hati.
“Kak Ash mahu ke mana sampai tergesa-gesa sebegini?”
Pertanyaan Azizah dibiar tanpa jawapan apabila dengan tidak semena-mena telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Rasheeda bingkas dari sila menuju ke meja belajar, lalu mencapai telefon bimbitnya. Tertera nama ‘Ayong’ pada skrin telefon. Tanpa sempat memberi salam, dia terus melontar soalan pada kakak sulungnya itu.
“Yong, mak macam mana? Mak tidak ada apa-apa kan? Mak ok kan?”
Dari dalam talian, dapat dia dengar dengan jelas sendu tangis kakaknya.
“Ash, mak dah tak ada. Mak sudah tinggalkan kita.”
Rasheeda terkedu. Telefon bimbit melurut laju dari jemari runcingnya. Azizah yang mendengar sejak tadi perbualannya, meluru mendapatkan Rasheeda yang hampir terduduk. Sebaik sahaja Azizah memeluknya, serentak itu juga dia meraung bagaikan anak kecil yang minta disusukan.
“Ajah, mak akak dah pergi. Mak akak dah pergi!”.
Tanah Perkuburan Islam Mukim Hutan Putih.
Rasheeda tercungap-cungap meneruskan ayat-ayat terakhir surah Yasin buat Allahyarhamah Minah, nendanya yang tercinta. Airmata tidak bertakung di tubir kelopak matanya yang bundar, namun ada sendu dan sekalung rindu tersemat di dada.
Abah sudah menyudahi bacaan Yasin, lalu disambung lagi dengan Ayatul Kursi sambil menunggu dia menghabiskan bacaannya.
Sesudahi bacaan surah Yasin, abah menadah tangan berdoa, diikuti dia dan adik beradik yang lain. Abah begitu lancar menuturkan doa dalam Bahasa Arab. Doanya begitu menyentuh hati Rasheeda. Dari suara abah, Rasheeda tahu abah begitu merindui Mak, rindukan kasih ibu yang tidak bertepi. Rasheeda menahan sebak. Jauh di sudut hati, dia sungguh-sungguh berdoa agar mereka sekeluarga dipertemukan di syurga yang kekal abadi.
“Aameen”.
Usai mengutus doa pada Yang Esa, abah meminta adiknya, Radhi mencabut rumput dan lalang yang tumbuh di sekitar tempat persemadian Mak. Kemudian, abah menunjukkan juga kepadanya dan adik-adik tempat persemadian Atuk. Jaraknya dalam 10 meter dari kubur Mak.
Setiap kali tibanya Syawal, pasti tanah perkuburan Mak yang akan mereka ziarah dahulu selepas sahaja solat sunat hari raya. Setiap kali Syawal, suatu ketika dahulu, suara Mak yang memecah keheningan pagi. Memanggil kesemua cucunya supaya bergegas dan bersiap untuk bersarapan serta menuju ke surau berdekatan untuk menunaikan solat sunat hari raya.
Namun bagi Rasheeda, bukan saja keriuhan Syawal berada di hatinya, bahkan keseluruhan hari, bulan dan tahun tetap kerinduannya belayar dengan angin yang menderu megah di lautan kasih seorang nenda.
Oleh :
Embun Melati,
Mahallah Ameenah,
29 Ogos 2013, 10.21 malam.

