Showing posts with label Puisi. Show all posts
Showing posts with label Puisi. Show all posts

Friday, September 26, 2014

Puisi | Kepuraan

KEPURAAN


Tidak dapat tidak;

hidup itu tentang kepuraan

yang tidak terlihat

di sebalik sirna terang

tidak ternampak

di balik langit malam.


Embun Melati,

Mahallah Safiyyah

26/9/14.

Thursday, September 25, 2014

Puisi | Hilang Dalam Hujan


HILANG DALAM HUJAN.


Kau tahu bukan hujan turun lagi?

deru angin dingin menampar deras kerudung merah jambuku

meliuk ke kiri dan ke kanan

menyentuh pipi ku yang hampir kebasahan


kau tahu bukan hujan turun lagi?

resahku membusung

ceriaku terpasung

aku hanya mampu berteriak

jauh ke dalam dimensi-membutakan mata, memekakkan telinga


kau tahu bukan hujan turun lagi?

jemari lesu ini hanya mampu berdiksi

menata aksara merangka puisi

menahan luka dan airmata sendiri

sungguh aku bencikan kehilangan

di saat aku ada dan masih ada

kerana hilang menempah sengsara

kerana hilang menyambung duka

mengundang murka


kau tahu bukan hujan turun lagi?

aku hilang dalam ribut 

jauh dari kabut

hanyut


siapa pun aku hujan

terima lah aku siapa pun aku

siapa pun aku 

seadanya aku.


Embun Melati,

ITD General Lab

25/9/14.


Monday, May 26, 2014

Pelit | Dalam Jangka Masa Dua Puluh Sembilan Tahun


Dua puluh sembilan tahun. 13 Mei 2014.

Ditambah satu menjadikan ia tiga puluh.

Angka tiga puluh yang sering ditakuti oleh mana-mana wanita yang masih belum berumahtangga. Banyak yang sudah dilalui ku rasakan. Biarpun di mata orang-orang tua lain aku masih juga mentah dalam hidup, aku tetap mahu mengatakan tajamnya duri sudah ku rasa, darah yang menyakitkan sudah mengalir, manisnya pengalaman sudah ku alami, pahitnya kenangan sudah ku sentuh. Walaupun masih belum cukup ranum, setidak-tidaknya ianya menjadi bekal buat umur-umur selanjutnya.

Dalam jangka masa 29 tahun ini, ada yang sudah ku raih, ada yang belum
dalam jangka masa 29 tahun ini, ada yang hilang, ada yang pergi, ada yang berganti
dalam jangka masa 29 tahun ini, ada yang derita-ku terluka, ada yang bahagia-ku ceria
dalam jangka masa 29 tahun ini, ada yang ku teka menjadi, ada yang tidak disangka ku alami
dalam jangka masa 29 tahun ini, ada yang buat ku menangis tak berhenti, ada yang buat ku senyum kembali
dalam jangka masa 29 tahun ini, ada harapan berkubur, ada impian ku gapai dan lentur
dalam jangka masa 29 tahun ini, ada sayang ku damba, ada kasih ku kalungkan rasa
dalam jangka masa 29 tahun ini, ada yang membenciku, ada yang mengagumiku
dalam jangka masa 29 tahun ini,susur galur perjalanan tiada siapa yang mengerti-kecuali(jika)kasut kita sama
dalam jangka masa 29 tahun ini, masih ada masa untuk ku renungkan semula
segala onak dan rencah hidup pelbagai rasa
dalam jangka masa 29 tahun ini, masih ada masa-selagi kita diberi nyawa oleh Allah Yang Esa.

Untuk yang masih dan sangat muda, jangan lah berasa kita sudah masak dengan rencah kehidupan. Setiap insan yang berada dan pernah bersama kita memberi seribu makna, hikmah dan pengertian. Belajar dan bermainlah dalam padang kehidupan ini dengan larian dan jalanan berlandaskan keikhlasan, kejujuran, kasih sayang. Setiap orang yang pernah tidak sengaja dihadirkan Allah dalam filem-filem hidup kita kadangkala menguatkan hati kita yang rapuh walaupun masanya tidak lama.

Adakala, kita hanya pandai bermain dengan kata-kata, mengatakan hidup ini haruslah saling memberi. Berkata memang lebih mudah daripada melakukan. Beringatlah di kala kita masih muda remaja sebagai bekalan untuk kedewasaanmu. Kerana kata-kata yang kita cipta mampu memakan diri kita sendiri. Hargailah dan gunalah masa mudamu dengan sebaiknya. Jangan mudah mendongak kepala ketika kita sudah berjaya dan berharta. Andai begitu terjadi, cepat-cepatlah menunduk kembali kepala dengan kerendahan hati kerana Allah.

Aku Dalam Jangka Masa 29 tahun,
Embun Melati
26 Mei 2014.

Saturday, May 24, 2014

Puisi | Seorang Guru

Puisi ini saya karang khas buat guru-guru Tadika Abim Pasir Mas, Sekolah Rendah Sultan Ibrahim 1, Maahad Muhammadi Lilbanat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan semua guru di Malaysia.

Terima kasih tidak terhingga di atas jasa kalian memberi ilmu dan nasihat serta mendidik saya menjadi seorang yang berguna. Saya sayang kalian.

SEORANG GURU

Seorang guru
menabur bakti tidak pinta dibalas
mencurah ilmu penuh ikhlas

Seorang guru
membenih nasihat tanda kasih
menenun teladan
meneguh semangat

Seorang guru
tiada menyinggah di lebuh kelelahan
terus memandu di jalan kecintaan
hijaunya agama, bangsa dan negara
merahnya semangat membara
kuningnya cahaya sentosa

Seorang guru
masih seorang guru
di balik kedutan usia
tanda amanah dan setia.

Embun Melati,
Pasir Mas
15/5/2014.

Monday, May 5, 2014

Puisi | Hujan Rindu

HUJAN RINDU.


Langit bersuara penuh dentuman

manusia masih bisa melangkah keraguan

renik-renik hujan tadi masih bercucuran

matahari masih lagi kecairan

membeku sinaran


menukik kembara silam

aku terbentur di lautan kasih

memahat sumpah dan nama

riang

senyum

tawa

di pepasiran halus- berdesir lagu ombak

mendakap hembus anginnya

dalam hujan rindu

tetap kaku kebasahan

menyiang nestapa

membebat luka

memotret wajah sesiapa

yang kau suka


namun teman

siapa sangka kertas tulisan kita

renyuk hancur dimamah serangga

bersaksi hujan dan airmata.


Embun Melati,

Mahallah Ameenah

6.10 petang.


Nota : Mood Rangga belum habis daaa...Hehehe.



Tuesday, January 21, 2014

Puisi | Harapan ( Dengarlah T )

Harapan ( Dengarlah T)

I

Dalam karam di lautan derita
hanyut dihempas buih ombak menggila
lambaian tangan hanya disapa angin semata
begitu jua kicau beburung menerpa
seolah menanti mencengkam bangkai manusia
setelah puas memijak serpihan kaca
kasar atau halus
di setiap jalanan merentas harapan
walau tahu tapak kaki kan pasti menyucuk
mengalirkan darah bersama nanah, tetap membusuk
walau tahu lukanya tidak bisa dibebat
meresap penawar pun tidak ia mahu

II

Aduhai T..
sebanyak mana pun kau pulas relungan kasih
secantik mana pun kau tuang warna cinta
payah sekali ia bersemi dan bersinar
buih di lautan pun tidak bisa kau gayung
tulis kata di pepasir pun bisa hanyut
ini kan lagi harapan seribu kau damba senafas, dalam denyut
nadi mu yang masih bersisa
bernyawa dalam perit mengatur benih-benih rindu
tetap juga ia begitu
sambung tidak
bahkan tumbuh juga tidak sudi
dalam sesak mengatur nafas
kau hanya mampu mengatur baris-baris aksara, dalam pilu
untuk harapan kusam 
begitu
kau tetap menyisip kenangan
mengisi poket kesedihanmu.

Embun Melati,
Pasir Mas,
21 Januari 2014.


Wednesday, January 15, 2014

Puisi | Permusafiran

I

Di dalam permusafiran
ada resah
menyucuk perdu atma
mencari sebuah kepastian
ada tangisan
yang mahu
kau usai kekeringan

II

Tika sela waktu
aku belajar menyulam redha
menenun songket ikhlas berwarna
akan tetapi
masih hati-hati melengkapi
kain cinta
takut saja
terkena serpihan kaca

III

Di balik kilauan cermin
dia yang berbusana jingga
terbit sendu di dalam jiwa
kerana cinta
dia jadi luka
gemersik suara
sering didamba
namun hampa
kerana dia
dahaga selaut kasih mesra
yang tidak bisa memilikinya.

Embun Melati
Merapoh
3 November 2013.

Sunday, October 27, 2013

Puisi | Ni, Kau Menangis?


Ni, tika dikau pagi, kau sinar mancar
Ni, tika dikau malam, kau gelap pudar
Ni, kau tidak gementar
mengikutiku.

Ni, pegang tanganku Ni
genggam sehabis kuat Ni
aku mahu lari tanpa henti
denganmu Ni.

Aduh Ni, 
gemintang tidak ada malam ini
harus bagaimana kita pergi
kejar kunang-kunang ku mahu cari
Ni oh Ni, kau ke mari
kau nampak Ni?
kau lihat di sana Ni
apakah ku hanya bermimpi?

Duhai Ni..awanan putih di langit, gebu menggumpal. Ni, lembutnya- aku ambil ya Ni
anjal umpama kapas.
ku mahu jadikan ia bantal peraduan-tulus
buat lena malam-malam kudus
agar hari-hari senyum terukir mulus

Alangkah indah Ni
jika diriku masih denganmu Ni
alangkah bahagia Ni
andai gemintang itu milik kita
andai kunang-kunang terbang ria
andai awan tidak senja

Ni nanti dulu Ni....
ku masih belum puas
bermain, melukis, mewarna atas kertas
mencipta rantai emas
tapi...panas Ni, panas!
telapak tanganku panas
titis demi titis
mengairi kebasahan deras

Ni...apa kau menangis?

Embun Melati,
Mahallah Ameenah,
27/10/2013.
(Aku mahu kembali sepertimu Ni)

Thursday, October 17, 2013

Puisi | Oh Matahari, Bulan, Bintang (Dalam Kebisuan Di Aidiladha).

Oh Matahari, Bulan, Bintang
(Dalam kebisuan di Aidiladha)

Duhai matahari,
hangatmu dirindu tika dingin melanda
panasmu didamba tika hujan menggila
sore begini matahari
aku berbahasa denganmu-sendirian-tidak keruan
di celah gumpalan awan oh matahari
kau bersembunyi
sudikah kau berkasih denganku saat ini?
matahari-matahati
beginikah kau ingin ku bahasakan?
memujuk rayu agar kau berpaling, mengelusku lembut, memelukku
dengan gebar rindumu.
merintik peluh resahku.

Duhai bulan,
kau disebut-sebut pungguk-bertenggek di pohon kayangan
betapa pungguk agungkan cintamu-dalam khayalan
kau dikata cantik bersinar-bisa membutakan mata setiawan
laksana puteri anggun dalam busana mewah bungaan
oh bulan!
aku bermimpi-malamku dihantui cahayamu
ku lihat bayangan impian-menghitam tanah berbatuan
ku peluk tubuh dalam ketakutan.

Duhai bintang,
kerlipanmu memberiku harapan
dalam kegelapan
apa teriakku kau dengar bintang harapan?
tentang kenangan
kesepian
kesunyian
kehampaan
kesakitan
kau tahu bintang
malam-malammu tidak sendirian
lantaran matahari, matahatiku memberi pinjam
cahayanya terang
dan ia tidak pernah jemu
memancarimu
juga aku.

17/10/2013
Embun Melati,
Jabatan Bahasa,Kolej Unikop.

Sunday, October 6, 2013

Puisi | Faiz, Fatini & Raihan; Suatu malam di bukit Ampang

Faiz, Fatini & Raihan; Suatu malam di bukit Ampang
Kisah-kisah yang takkan datang di siangnya

Faiz
Aku memang sukakan sentimental
aku memang sukakan malam-malam yang begini
yang tiada siapa pun
menjadi seperti kita
di malam ini

Fatini
Aku memilih untuk dicinta
Kerana aku mampu memberi cinta
Kau laut cinta
Aku ombak rindu
Kau pantai
Aku pepasir
Dalam kesunyian itu
Cinta aku
Adalah rasa

Raihan
Malam ini
Aku mengintai di balik sepi
Erti sebuah perkawanan
Dalam lautan kasih sang kekasih
Kata kau, antara persahabatan
Dan percintaan
Kau memilih
Nilai sebuah persahabatan

Faiz, Fatini, Raihan
biar malam ini
menjadi momen
tentang sepi, cinta dan kecewa
tentang kita, dia dan mereka

Ampang Hill
Faiz, Fatini & Raihan.
6-10-2013

Sunday, August 25, 2013

Puisi | Kerana Bahagia


Mentari masih tegar di bumbung langit
memberi cahaya untukku terus mengukir senyum
ketika ia rembang
jemariku mengarang
aksara bunga bahagia
buat penawar lara
Sudah adat meraih bahagia
akan ada buah-buah duka
akan ada yang berdosa
akibat resah jiwa
kembali pada Yang Esa
Sudah adat resam dunia
ke mana kaki melangkah-onak duri melata
kau akan tadah air mata
dengan tanganmu sendiri
sehingga kering di celahan jemari
Kerana bahagia
kau biarkan ia
mengalir setiap masa
Demi kerana bahagia
kau korbankan bahagia
dan dirimu sengsara-derita bertahun lamanya
kau jatuh dan kau dongak kembali
kau berlari dan tersadung kaki-rebah lagi
kau duduk dan merangkak- merapati lutut sekuat hati
meraung dalam lautan sepi
Demi kerana bahagia
kau rafa' telapak tangan mengutus doa
"ku pohon teman setia, menemaniku dalam setiap nafas yang masih ada"
Benar janji Dia
Tidak ada dusta
Hadir dalam hidup sahabat suka dan duka
Hadir dalam hidup penuntut ilmu muda
Memberi nikmat rencah cinta
Kerana bahagia
di akhir usang umurku
ku harap ada yang menyapu air mata
memberi teduhan untuk hidup bersisa.

Embun Melati,
Mahallah Ameenah,
25 Ogos 2013, 1.32 petang.

Wednesday, August 21, 2013

Puisi | Sepetang Gadis Berbaju Jingga

Dari kejauhan dia merenung kesepian
Seusai melunas kehendak nafsu kelaparan
Pangkin punggung atas bangku berbatuan
Bersendiri meneruskan hari yang semakin kelam
Matahari semakin bersembunyi
Seolah tidak mahu berteman
Daun pepohonan berguguran di tepian sungai kecil
Seakan merai sendirian itu tanpa kawan
Burung burung semakin menghilang
Terbang ke sarang
Bebas di awanan
Dia terus memandang
Melihat gelagat manusia berkeliaran
Yang tiada ketahuan tujuannya
Bersama sepatu putih berbunga berlian
Dia gadis berbaju jingga
Masih suram diari kehidupannya
Tidak sejingga bajunya
Tidak juga sejingga kerudungnya

Embun Melati,
Riverside IIUM,
6.52 petang, 21 Ogos 2013.

Thursday, August 15, 2013

Puisi | Nota Kecil Seorang Guru



Lewat petang jumaat
Seusai asar penuh rahmat
Aku guru
Melari jemariku lembut
Dalam kesyahduan ini-pekat-likat
Ku lakar nota kecil cermat
Segulung rasa ku harap ianya melekat
Setulus sanubari
Kala langit jingga memukat
Awan menghembus rahmat
Aku guru
Menggali sekudus ikhlas
Menabur bakti tanpa dibalas
Aku guru
Malamku gantung dengan kalung niat
Pagi ku sisip dengan bismillah
Curah ilmu Lillah

Itu harapanku..

Tidak menyinggah di lebuh kepenatan.
Dan aku guru
Masih seorang pendamba pedoman.

Embun Melati
Kolej Unikop
15 Ogos 2013, 11.00 a.m.

Saturday, June 1, 2013

Puisi | Sang Pemimpi



Seringkali ku takut dengan tenunan mimpi
Mimpi indah sekali
Langitnya cerah, selamanya memayungi
Lantainya warna, selamanya menghampari
Selamanya begini.

Teman,
Maaf jika diriku begitu rumit
Membuat dirimu sakit
Maaf andai ku terus membuatmu kecewa
Memaksa dirimu terima
Maaf juga mencampakmu jauh dari temanmu yang lain
Sesak dadamu menelan

Maaf ku tidak bisa menampung empangan air mata
Malamku tadi embun sekali lagaknya

Aku ini
Insan penenun mimpi
Awal berjalan seiring ku anyami
Tengah tergugah tanpa ku sedari
Kemuncaknya sendiri tidak ku fahami

Apa aku masih penenun mimpi?
Atau aku bencikan sepi?

Embun Melati
Mahallah Ameenah
10.05 a.m
1 Jun 2013

Monday, May 27, 2013

Puisi | Tenggelam Punca



Sepi bersenandung hiba
Entah bila - tiada rasa
Tatkala riuhnya suara 
Aku..gadis tua
Sendu dalam teriak tanpa nada
Kala mereka menghebah ceria
Ku hanya lihat hati derita
Siapa lah tidak mahu gapai bunga bahagia
Jika tidak namanya manusia
Hati galau bimbang tenggelam punca
Cuba menaakul calar duka

Embun Melati
Kolej Unikop
12.00 p.m.

Saturday, May 25, 2013

Pelit | Rindu Masih Bertamu



Tanah masih lagi merah. Tanah tempat dirimu bersemadi. Kala ini, airmataku masih tidak tertahan-tahan merindui diri mu. Masih segar perbualan kita. Masih ranum kenangan-kenangan denganmu.

Hadirmu tak terduga. Pergi mu tak ku jangka. Saat mendapat khabar bahawa dirimu 'pergi jauh', aku terkedu. Sudah tersurat hari jumaat, hari ku menatap wajahmu buat kali terakhir.

Dalam hujan dingin, hembusan angin bisu, di hari jumaat penuh barokah. Kau temanku, pergi menyahut seruan Ilahi. 

Sesampainya aku, tapakku berlari laju demi mahu melihatmu diusung sepi ke dalam ambulans. Itulah dirimu. Tidur kaku membisu. Ku lihat wajah seorang ayah menahan sebak di atas pemergianmu.

Kelmarin, ku biarkan diriku melihat kamarmu, baju-bajumu bergantungan rapi dalam gobok usang. Meja ulangkajimu ku tatap. Buku-buku agama, ma'thurat yang menjadi amalanmu setiap pagi, komputer riba yang memberi jasa tak terhingga demi menyiapkan kajianmu.

Di situ, aku melihat bayanganmu.

Kelmarin, julung kalinya aku menunaikan solat jenazah, mengucup dahi suci seorang teman, sahabat dan adik yang baik. Dan terakhir kalinya aku melepas pandangan melihat jasadmu dibawa pergi oleh pacuan empat roda jenazah. Sayu dan pilu. Di sisi perbaringanmu, ku lihat ibumu amat sedih dengan pemergianmu. Aku makin jadi tak tentu.

Bersemadilah temanku dengan aman. Pemergianmu memberi seribu hikmah dan pengajaran.

Ku kirim Al-Fatihah buatmu.

Dalam sendu aku rindu dirimu Siti Khatijah.

Ku kucup sepi dahimu
Dingin damai sebujur tubuh kaku
Ku lihat derita hati seorang ibu
Menahan ratap saat melepas dirimu
Rintis hujan pilu
Turut merasai kehilanganmu
Adikku.
Masih terasa hilai tawamu
Masih terlayar manis senyumanmu
Sesungguhnya detik waktu
Tidak mampu merungkai rindu

Adikku.
Tenang lah dirimu mengadap Allah Yang Satu.
Kerana Dia lebih menyayangimu.

Wednesday, May 15, 2013

Puisi | Berulangkali




Berulangkali telah ku cuba
Berulangkali juga ku kecewa
Barangkali aku emas atau permata
Yang ditarah sebelum ada
Jika sudah tiba masanya
Hamparan duri kan ku langkah jua
Tanpa rasa sesal di dada
Mimpi semalam hanya sementara
Yang ada hanyalah hidup yang nyata
Pentas drama mana mungkin dilupa
Yang tinggal pasti kenangan semata
Terbenam jauh di lautan duka.

Embun Melati
Mahallah Ameenah
8.50 a.m.

Tuesday, May 14, 2013

Puisi | Catatan Hari Lahir



Catatan Hari Lahir I

Hening subuh detik tua
Seusai sujud fajar tanpa lena
Pangkin punggung atas bangku jingga
Menatap keindahan saujana
Dari celah jendela

Fikirku..
Kisah usia tiada istimewa
Sambut awal cerita dengan air mata
Hanya duka

Jam berdetik.

Ada contengan kisah.
Senyum lukis sendiri
Biar memaksa buang resah
Mula cerita pagi

"Aku gembira ini hari"

Mereka jeda. Senyum berbalas.
Tawa bersambut.
Tanpa dipaksa
Mereka hulur pensil warna
Untuk aku lakar sesuka rasa

"Hari ini hari mu, pinta apa saja"

Doa dibaca
Tanda tuanya gadis dewasa
Manis kami telan bersama
Waima masa cemburu kalah orang muda

Waktu berlari tanpa menunggu
Menembus sosok serpihan anganku
Baris pemuda pemudi
Menggugah sunyiku
Kala terbenam suria di langit senja

"Mari rai bersama kami"

Malam masih belum menghujung
Menyua hamparan peristiwa
Cukup untuk kenangan sampai bila-bila
Bingit tanda mesra
Riuh simbol akrab kita
Pulang daku membungkus cinta
Jadi muzikal
Bergentayangan di selirat benakku
Beradu dalam pelukan girangmu

Catatan Hari Lahir II

Perjalanan Teluki
Nasi kukus sekali lagi
Teh O Ais Laici
Faiz dan Izzati
Memberi peluru inspirasi
Memetik suis alpa diri
Telah lama ku tenggelam
Dalam kapal besi di lautan duka
Semuanya satu hadiah hari jadi
Penuh erti

Catatan Hari Lahir III
(Untuk Kak Zainun tersayang)

Jauh di mata dekat di hati
Lunak suaramu
Ayat-ayat kasihmu kakak
Aku hargai
Nasihatmu harum mewangi
Tiada satu bobrok didikmu
Santun jujur
Dililt dengan benang keikhlasan
Begitu
Tetap juga ku simpan rapi
Dalam kotak cintaku.

Embun Melati
Mahallah Ameenah
12.00 a.m.

Saturday, April 6, 2013

Puisi | Aku Perempuan



Hari hari biasa
Ku simbah siapa-siapa senyumku
Ku percik tawa pada kata-kata
Ku adun sempurna indah bahasa
Pada siapa ku suka
Pada insan ku hormat
Meluntur pilu meresap rindu
Gugur resah libang libu

Aku perempuan
Biar begitu
Ku punya hati rawan
Tangisku kadangnya jadi ratap
Gelakku simboliknya rentap
Dari sudut tangkai jantung

Aku perempuan
Kadang mendung kelabu
Kadang kemarau tak bertepi
Kadang salji membeku biru
Kadang daun berguguran ditiup angin
Kadang mekar pelangi beribu

Aku perempuan
Jangan disentuh rasa sesuka hati
Jangan diraih jemari tanpa izin wali

Aku perempuan
Cukup lah rasa dilindungi
Disayangi seikhlas hati
Hormatilah aku
Hawa ciptaan Ilahi.

Tuesday, March 19, 2013

Puisi | Pada Angin dan Sibur-Sibur


Sumber : Google

Hawa masih diam sendiri.
Sepi.
Hanya desiran angin cuba berbicara.
Menaakul gelojak hati gadisnya.
Angin berdesir lagi.
Kali ini tujahannya persis memarahi.
Seakan mahu memecah tembok jiwa.
Hawa terus degil.
Merantai kejap sekuat rasa.
Sibur-sibur berwarna jingga terbang landai.
Lantas hinggap di bahu kirinya.
Seketika menemani dirinya.
Cuba membela dia melawan angin.
Ah!Sibur-sibur itu kecil!
Manakan bisa berpadu tenaga sama angin.
Hawa mengerti.
Sibur-sibur mula terbang tinggi kembali.
Meninggalkan dirinya diratah sunyi.
Hawa fahami.
Angin dan sibur-sibur.
Keduanya aturan memaknai.

Nota pagi : Kenapa ya mata ini tidak mahu lelap sehingga pagi begini?