Showing posts with label Pengisian Rohani. Show all posts
Showing posts with label Pengisian Rohani. Show all posts

Friday, July 26, 2013

Ramadan | Tarikh Nuzul Al-Quran


AL-QURAN KUNCI MA’RIFAH & PENGHIDUP JIWA YANG MATI 

Allah adalah Zat yang ghaib. Mata kasar & pemikiran terbatas manusia tanpa bimbinganNya tidak akan dapat mengenalNya (Ma’rifatullah). Kasih sayang Allah terbukti dengan penurunan al-Quran yang menjadi tali antara makhluk denganNya serta cahaya yang membebaskan manusia dari kesesatan. FirmanNya: 

الر كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ 

Ertinya: Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji (Ibrahim[14:1]). 

Orang yang diberikan cahaya al-Quran mempunyai kelebihan berbanding orang biasa. Allah membandingkan antara 2 kontra ini. FirmanNya: 

أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ 

Ertinya: Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (al-Quran, Islam & iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat (al-An’am[6:122]). 

2 individu yang dimaksudkan oleh ayat tersebut adalah ‘Umar al-Khattab (orang yang dihidupkan hatinya) dan Abu Jahal bin Hisham (yang berterusan mati hatinya)(Tafsir al-Tabari). Ayat ini bukti doa nabi SAW dimakbulkan: Ya Allah muliakanlah Islam dengan salah seorang dari mereka, Umar al-Khattab atau Abu Jahal bin Hisyam- Sunan al-Tirmidhi, Ibn Majah). 

AL-QURAN DITURUNKAN DUA KALI. 

Al-Qur’an diturunkan Allah sebanyak 2 kali: 

1) Penurunan secara sekaligus dari langit ketujuh (Bayt al-Ma’mur) ke langit pertama (Bayt al-‘Izzah). 

2) Penurunan secara berperingkat bermula di gua Hira’ (al-‘Alaq[96:1-5]) dan berakhir dengan al-Baqarah [2:281] selama 23 tahun (yang akhirnya melengkapkan jumlah 6236 ayat al-Quran). 

PERBAHASAN ANTARA (نزَّلَ & أَنْزَلَ) 

Para ulama’ bahasa mengatakan (نزَّلَ) bermaksud penurunan secara berperingkat-peringkat, manakala (أَنْزَلَ) bermaksud penurunan secara sekaligus. 

Ayat yang membawa maksud penurunan secara sekaligus: 

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَأَنْزَلَ التَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ 

Erti: Dia menurunkan (secara berperingkat) kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan (secara sekaligus) Kitab-kitab Taurat dan Injil (Ali ‘Imran[3:3]). 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا آَمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَى رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنْزَلَ مِنْ قَبْلُ 

Erti: Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan (secara berperingkat) kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan (secara sekaligus) dahulu daripada itu (al-Nisa’[4:136]). 

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ 

Erti: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (secara sekaligus) Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab) (al-Dukhan[44:3]). 

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ 

Erti: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (secara sekaligus) (Al-Quran) ini pada Malam al-Qadar (al-Qadr[97:1]). 

BERAPA TARIKH SEBENAR NUZUL AL-QURAN KEPADA NABI SAW DI GUA HIRA’? 

Orang awam sering keliru tentang tarikh Nuzul al-Quran (17 Ramadhan sebagai cuti Nuzul al-Quran di Malaysia). Sedangkan yang diketahui umum al-Quran turun pada malam al-Qadr dan malam al-Qadr pula tersembunyi pada 10 malam terakhir Ramadhan (20-30). Sebenarnya terdapat banyak pendapat tentang tarikh penurunan al-Quran kepada nabi SAW: 

1) 17 Ramadhan. Pendapat ini disandarkan kepada tarikh berlakunya perang Badar. Firman Allah: 

Ertinya: Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. 

2) 24 Ramadhan. Pendapat ini disandarkan kepada sabda nabi: Diturunkan Suhuf Ibrahim pada malam pertama Ramadhan, Tawrat pada 6 Ramadhan, Injil pada 13 Ramadhan, Zabur pada 18 Ramadhan dan al-Quran pada 24 Ramadhan (Musnad Ahmad). Ibn Hajar berkata: Pendapat ini bertepatan dengan (al-Baqarah[2:185] & surah al-Qadr. Boleh jadi malam itu adalah malam al-Qadr untuk tahun itu; ketika al-Quran diturunkan secara sekaligus dari langit ke 7 ke langit dunia itu. Kemudiannya al-Quran diturunkan kepada nabi SAW bermula dengan Iqra’ juga pada malam ke 24 Ramadhan (Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari). 

3) 21 Ramadhan. Pendapat ini disandarkan kepada hadith tentang kelebihan berpuasa pada hari Isnin. Apabila ditanya tentang keistimewaan puasa hari Isnin, baginda menjawab: Pada hari itu aku dilahirkan dan pada hari itulah juga al-Quran (Iqra’) mula diturunkan kepadaku (Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud). 

Ulama sejarah Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitab sirahnya berkata: Nabi dilantik pada hari Isnin 21 Ramadhan bersamaan 13 Ogos 610 Masihi. Hari Isnin Ramadhan pada tahun itu pula (pada perkiraan ahli falaq) jatuh pada 7, 14, 21 & 28. Nas lain juga menyebut malam al-Qadar hanya jatuh pada malam ganjil. Oleh itu malam ke 21 adalah yang paling sesuai untuk dikatakan sebagai tarikh Nuzul al-Quran kepada nabi SAW di Gua Hira’ (al-Rahiq al-Makhtum, ms 70-71). 

PENURUNAN DAN PENYEMPURNAAN AL-QURAN SEPATUTNYA MENJADI HARI RAYA KEPADA ORANG BERIMAN 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ (57) قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ (58) 

Erti: Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad: "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata) dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)" (Yunus[10:57-58]). 

Walau bagaimanapun! Bukan tarikh yang perlu menjadi fokus utama umat islam tetapi sejauh mana kesyukuran dan hak al-Quran yang sudah kita laksanakan. Tanggungjawab kita kepada al-Quran terkandung dalam beberapa prinsip iaitu: 

1) Tilawah. Bacaan bertajwid. 

2) Tafsir. Faham isinya. 

3) Tadabbur. Penghayatan. 

4) Tatbiq. Perlaksanaan isinya. 

5) Tahfiz. Hafaz sekadar termampu kerana hafazan membantu proses perlaksanaan. 

Selain itu, hari penurunan/penyempurnaan AL-Quran adalah hari raya! Seorang Yahudi berkata kepada Umar: Kamu membaca satu ayat (al-Ma’idah[5:3]), sekiranya ayat sedemikian turun kepada kami nescaya kami akan jadikannya hari raya. Umar menjawab..ia turun pada hari Arafah & hari Jumaat (sememangnya ia hari raya) (Sahih al-Bukhari). 

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا 

Ertinya: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu (al-Ma’idah[5:3]). 

Yahudi tersebut berkata demikian kerana Tawrat juga diberikan kepada nabi Musa secara sekali gus pada 10 Dhu al-Hijjah. Baginda AS menerimanya selepas bermunajat selama 40 hari bermula 1 Dhu al-Qa’dah (al-A’raf[7:142-145]) (Tafsir al-Tabari). 

Penulis artikel : 

Ustaz Abdullah Bukhari, pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM Gombak. 

Sumber link :


Monday, April 29, 2013

Cerkon | Apis Suka Kubur


"Kau dari mana tadi?"

"Apis balik dari kubur Kak. Tak mandi lagi ni. Tadi usung jenazah, tersepak batu nisan."

Wajah adiknya ditenung. Kelihatan riaknya menahan kesakitan.

"Lain kali hati-hati. Pergi mandi dulu."

"Sebentar lagi la Kak."

"Kak?".

"Ya, ada apa?"

Bajunya diseterika dengan rapi tanpa memandang ke arah adiknya yang melunjurkan kakinya depan televisyen.

"Apis suka pergi kubur Kak. Suka sangat. Tapi tadi terlangkah kubur orang. Kerap juga terlangkah setiap kali ke kubur. Tak sengaja Kak."

"Kenapa Apis suka pergi kubur?"

Setelah selesai menyeterika, dia menyarung baju kurung dengan penyangkut baju berwarna merah, lalu digantung pada dinding ruang tamu untuk sementara.

Kali ini dia memberi sepenuh perhatian pada butir bicara adiknya.

"Pada Apis Kak, itu tempat paling tenangkan hati Apis. Sebab bila kat situ Apis akan fikirkan tentang kematian. Hati Apis pun tak ada yang lain dah Kak. Tak fikir apa-apa selain kematian."

Dia jeda. Terpana seketika dengan kata-kata adiknya.

"Bagus lah Apis. Muda-muda Apis dah fikir macam tu. Bila Apis sudah berumahtangga nanti, didik lah anak-anak Apis agar ingat dengan kematian."

"Saat Apis dengar talkin dibacakan Kak, rasa Apis sendiri tak dapat jawab nanti. Ilmu Apis tak sampai ke tahap itu lagi."

Adiknya mengibas-ngibas tshirt yang dipakainya. Mungkin kepanasan selepas berpenat lelah ke kubur.

"Memang malaikat tanya siapa Tuhan kamu tapi atas dunia ni jika kita kata Tuhan itu Allah, rasanya masih belum cukup. Kita wajib tahu sifat-sifatNya dan terapkan di dalam hati. Iktikad kena betul-betul kuat Apis rasa baru boleh jawab talkin tu."

Egonya kali ini benar-benar menurun. Dirasakan ilmu yang dipelajari lebih ke depan daripada adiknya. Dia malu sendiri. Adiknya yang begitu muda berfikir tentang kematian. Waktu mudanya diisi dengan mengenal betul-betul Yang Khalik.

"Bukan Apis saja rasa macam tu. Kak pun. Ilmu dan amal pun masih ketandusan. Apatah lagi iman begitu rapuh ditelan keasyikan dunia."

"Sudah, pergi mandi. Maghrib makin rapat."

Duhai manusia, apa lagi yang kita mahu kejar di dunia sedangkan kematian bila-bila masa kan tiba. Masa kita kian suntuk. Hidup lah kita seolah-seolah kematian esok hari.

Maksud Firman Allah s.w.t:
"Apabila sampai ajal maut seseorang itu ia tidak dapat ditunda atau dipercepat, walau sesaat pun." (Surah al-A'raf ayat 34)


Friday, April 19, 2013

Pengisian Rohani | Cukupnya Kita...




Kita ni pakaian cukup,makan cukup. 

Kadang-kadang terlebih daripada cukup.

Bila lihat ramai lagi umat manusia hidupnya tiada kecukupan, bertuahnya hidup kita kan.

Jadi bersyukurlah dengan kecukupan kita.

Juga rajin-rajin lah bersedekah.

Sedekah itu bukan berupa material yang besar-besar saja.

Tidak semestinya menghulur wang beribu-ribu baru dipanggil sedekah.

Lima puluh sen, seringgit, dua ringgit mampu menandingi ribuan ringgit jika datangnya keikhlasan.

Jika sepuluh kita beri, seratus Allah bagi. 

Seratus kita bagi, seribu Allah bagi.

Berkongsi rezeki sedikit pun tidak rugi hatta makanan sekalipun.

Percayalah dengan rezeki. Jika mudahnya tangan kita memberi. Lebih mudah kurnia Allah bagi.

Percaya dan yakinlah pada Allah kerana Dia Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.

Mari bersyukur!

"Hai orang-orang yang beriman! Makanlah di antara rezeki yang baik yang kami berikan kepadamu. Dan bersyukurlah kepada Allah jika memang hanya dia saja yang kamu sembah."(Al-Baqarah: 172).

Saturday, October 13, 2012

Lambaian Kaabah


10 Oktober 2012.

"La ni pukul 1.15 tengahari di Mekah"

"Panas kan abah? Minum air masak banyak- banyak abah.."

"Minum air zam-zam."

"Jaga kesihatan abah dok kat sana."


Terharu bila Abahku hantar sms memberi khabar bahawa dia sudah selamat sampai di tanah suci Mekah. Semoga Abah dikurniakan haji mabrur. Ini kali kedua Abah menunaikan haji. Kali ini Abah niabah haji untuk arwah nenek. Abah sendiri ikhlaskan niat untuk arwah nenek walaupun nenek tidak pernah minta daripada Abah untuk menggantikan haji buatnya.

Apa itu Niabah Haji atau Badal Haji?

Badal ertinya 'ganti ' , 'pengganti ' atau yang digantikan. Maksudnya Badal Haji adalah 'menggantikan orang lain dalam melaksanakan ibadah haji kerana adanya halangan tertentu' seperti penyakit,usia tua (uzur) atau kematian bagi melaksanakan kesemua Rukun Islam ,seperti yang di maksudkan dalam surah Al-Imran
ayat 97:

"Disana terdapat ayat-ayat yang jelas dan ada makam Nabi Ibrahim,dan sesiapa yang memasukinya amanlah dia.Hanya untuk Allahlah kewajipan haji atas manusia, iaitu bagi sesiapa yang mampu melakukan perjalanan : dan sesiapa yang kafir (engkar) , sesungguhnya Allah maha kaya dari seluruh semesta alam "

Hukum Badal Haji.

Barangsiapa yang mampu menyambut panggilan haji, kemudian kerana sakit atau lanjut usia tidak dapat melaksanakannya, maka dia diharuskan meminta orang lain untuk menghajikannya. Hal ini berdasarkan hadis riwayat Fadl bin Abbas ra. Bahwa seorang wanita dari Bani Khats'am berkata:-

"Wahai Rasulullah saw.! Sesungguhnya Allah telah mewajibkan haji kepada hamba-Nya, bapaku seorang yang sudah berumur, tidak mampu mengadakan perjalanan, apakah boleh aku menghajikannya?   " Rasulullah saw. menjawab, "  Boleh. " Ini pendapat Imam Syafi'i, Imam Ahmad d  an Imam Abu Hanifah. Sementara Imam Malik berkata, "Tidak wajib."

Apabila seorang yang sakit setelah dihajikan sembuh, maka kewajiban hajinya tidak gugur. Yang bersangkutan wajib mengulanginya. Menurut Imam Ahmad, kewajibannya telah gugur. Barangsiapa yang melaksanakan haji nazar sementara dia belum melaksanakan haji Islamnya, maka haji nazarnya itu dibalas sebagai haji Islam dan setelah itu ia harus menunaikan haji nazarnya.

Barangsiapa yang meninggal dunia, belum malaksanakan haji Islam atau haji nazar, maka walinya wajib untuk menunaikan haji tersebut dengan biaya dari harta si mati. Ini pendapat ulama Syafi'i dan Hambali.

Ulama Hanafi dan Maliki berpendapat, "Ahli waris tidak wajib menghajikan si mati kecuali jika si mati mewasiatkannya, maka ia dihajikan dengan biaya tidak lebih dari sepertiga harta warisan."

Orang yang melaksanakan haji badal disyaratkan sudah melaksanakan haji untuk dirinya baik mampu atau tidak. Hal ini berdasarkan hadis riwayat Ibnu Abbas r.a., Bahwa Rasulullah saw. mendengar seorang laki-laki berkata, "Aku penuhi panggilan-Mu untuk Syabramah." Rasulullah saw. bertanya, "Apakah engkau telah melaksanakan haji untuk dirimu?" Ia menjawab, "Belum." Beliau bersabda, "Hajilah untuk dirimu kemudian laksanakan haji untuk Syabramah."

Sumber definisi dan hukum :

http://takafulbadalhaji.blogspot.com/2010/10/apakah-itu-badal-haji.html

http://www.andalusia2u.com/pakej-haji-1433h/badal-haji-upah-haji.html

******

Fi Amaanillah Abah. Semoga Abah selamat di sana dan selamat kembali nanti. I LOVE YOU. :)
Errr Abah tak pernah baca pun blog anak dia ni. hehehehe..

Wednesday, September 5, 2012

Puisi | SATU



Sumber imej : google.

Hanya SATU yang ada
SATU yang lebih tahu
Cinta SATU lebih perlu
Fahamilah
Allah saja Tuhan Yang SATU

Tuesday, July 17, 2012

Motivasi | Give To Others, Allah Will Give To You Back


I'm trying my best whatever it takes..Give Give Give..As long as I could..Husnuzzhon to Allah always..If I give to others,I will be given by Allah back..Try your best!Fa Sobrun Jamiil...

Kadang-kadang saya rasa diri saya dicampak ke sana sini oleh insan terdekat. Ditambah lagi munculnya tekanan kerja dan orang-orang sekeliling yang membuat hati saya makin sakit. Mudahnya hati berasa sakit. Ia buatkan diri saya jatuh dan terduduk seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa. 

Emosi saya sedang jatuh. Ketika ini, Allah saja yang sentiasa mendengar, melihat dan memberi yang terbaik buat diri hambaNya. 

Allah temukan saya lagi dengan insan,sahabat,kakak atau bekas majikan saya dulu. Kata-katanya sentiasa buat saya tenang, memberi saya ruang kembali untuk bertafakur dan muhasabah. Tiada ujian daripada Allah yang tidak baik untuk kita. Walau dari luarannya kita nampak ia derita dan sengsara tetapi percayalah ada ganjaran yang lebih baik yang akan Dia gantikan untuk kita.

I will always try to forgive myself and other people!

Take care of myself in order to take care of others!

And today I have to take care my anak buah, Adam Hakim. Maaf saya terpaksa ambil cuti hari ini, menggantikan Mummy nya yang tiada di sisi sekarang. Just for today. Memandangkan agak kalut untuk saya pergi kerja disebabkan tempat kerja jauh dan juga faktor-faktor lain seperti minyak, tol dan kesihatan saya sendiri, maka saya memilih untuk cuti.


For the first time saya belajar sediakan solid food untuk adam, masak bubur dan blend. Walaupun kena bangun awal dalam pukul 5.30 pagi, namun keseronokan tetap ada, lagi-lagi bila Adam bangun tersengih-sengih, cakap seorang diri dan menendang-nendang saya supaya bangun solat Subuh.hehehe..Itulah kebaikannya. Adam is a good boy. Hanya menangis nak berak, nak susu and nak tidur sahaja. Cuma dia akan meragam lebih bila tidak sihat sahaja. Kebiasaannya bila saya ada je, wajib bagi 'emas' kat saya. Kadang-kadang baru sampai rumah Mummy nya, tiba-tiba ada bunyi 'pretttttttt' dari dalam pampers!hahaha...

Tokma kata budak sayang kita kalau dia selalu bagi 'emas'...:)

Haaa, I think I need to sleep too now. Sementara Adam tengah tidur, baik saya join juga. Karang dia bangun, kena guna banyak tenaga untuk melayan. weeee!

Dreaminggggg....zzzzzz...

Thursday, May 17, 2012

Agama | Syamail Muhammadiah dan Fiqh Wanita Hamil


Mungkin sudah ramai yang pernah dengar kitab Syamail Muhammadiah dan Fiqh Wanita Hamil dalam versi Indonesia dan juga yang asli dalam Bahasa Arab. 

Kitab yang saya ingin war-warkan kat sini adalah dalam versi Bahasa Melayu. Lagi mudah dan senang untuk kita faham intipati yang terdapat dalam kitab ini. Memang tak rugi untuk menambah ilmu yang telah sedia ada.

Kepentingan ilmu itu sangat jelas apabila Allah Subhanahu Wataala menurunkan ayat yang mula-mula sekali kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu Surah Al 'Alaq tafsirnya :

"Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahui-Nya".

*sila klik pada gambarajah untuk dapatkan gambaran yang lebih jelas

Kepada sesiapa yang berminat untuk membeli dan memiliki kitab ini boleh lah menghubungi sahabat saya  Ustaz Izzuddin di 0176177315 atau melalui email blackwidow007@live.com.

Rujukan ayat al-quran :  http://ustaznaim.blogspot.com/2009/10/amalan-membaca-menambah-ilmu.html

Thursday, April 12, 2012

Rahsia Di Sebalik Solat Awal Waktu




Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.

Rasanya fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak?

WAKTU SUBUH

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.

Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.

Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur.

Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.

Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum.

Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud.

Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

WAKTU ZOHOR

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor.

Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman.

Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan.

Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. 

Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

WAKTU ASAR

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.

Rahsia warna oren ialah kreativiti.

Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ini jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu).

Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

WAKTU MAGHRIB

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah.

Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.

Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita.

Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

WAKTU ISYAK

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan.

Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.

Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan.

Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam.

Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

QIAMULLAIL

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus.

Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam.

Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya.

Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.

Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya.



Friday, February 10, 2012

Pengisian Rohani | Hidup Lebih Indah BersamaNYA

Bismillahirrahmanirrahim

ربنا لا تزغ قلوبنا بعد إذ هديتنا وهب لنا من لدنك رحمة إنك أنت الوهاب

" Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau gelincirkan hati-hati kami selepas Engkau memberi kami petunjuk dan kurniakan kami dari sisi-Mu akan rahmat.Sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi." (Ali Imran :8)


Manusia berubah, situasi berubah, fizikal berubah, mental berubah (ops!) dan macam- macam lagi bisa berubah. Tertanya- tanya juga adakah sesuatu pada diri manusia ini yang tidak akan sekali- kali berlaku perubahan dari segi sikap, sifat dan perangainya?

Kadang- kadang kita rasa kita memahami perangai dan keadaan orang lain tetapi lain pula yang dirasai oleh dia. Baginya kita saja yang mahu dia faham kita. Atau cara pemikiran dan cara hidup membuatkan timbulnya permasalahan begini? 

Bukan senang mahu melakukan pengorbanan. Sekalipun pengorbanan tidak akan terbalas sepertimana yang telah dikorbankan atas dunia ini, pengorbanan itu insyaAllah akan dipandang Allah S.W.T. Ya, Allah akan memberi setimpal dengan apa yang kita lakukan. 

Untuk mencapai tahap redha dalam diri di atas setiap pengorbanan menuntut kesabaran yang tinggi. Kesabaran bukan mudahnya datang sekelip mata seperti makan roti dan tuna (perumpamaan mungkin tak sesuai, sila abaikan), ia juga harus dipupuk dan disemai. Seringkali kita mengatakan diri kita seorang yang sangat sabar, namun sebenarnya mahu menyedapkan hati dengan ajinomoto yang tidak berkhasiat. Rebah! Tersungkur dengan airmata masin bergelen- gelen!

Lalu apa yang dicari lagi?

Terdetik jiwa dengan 'alarm' Dia. Mengingatkan kita bahawa sekujur jasad dan sekeping hati ini masih lagi belum mengenaliNya, masih belum mengerti erti kasih sayang sebenar, masih belum mengerti erti cinta sejati. Persoalan demi persoalan timbul dalam benak fikiran. Mengapa dan mengapa? 

Meluah segala perih padaNya melahirkan satu rasa yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Esakan tangisan hanya Dialah yang memahami kerana Dia yang mengaturkan segalanya. Buat kesekian kalinya mengakui diri jauh dariNya untuk sela waktu yang agak lama. Titik hitam demi titik hitam perlu dikikis kembali. Kehanyutan duniawi bisa buat manusia tenggelam bersama masa yang semakin tua!

Kita semakin lupa ada hak yang lebih utama lagi perlu dijaga iaitu agama Islam, hidayah dan hubungan kita denganNya. Kealpaan dalam hidup melahirkan sifat-sifat mazmumah seperti riak, sombong, tidak bersyukur dan sebagainya. Betapa jauhnya lagi diri yang melaung-laung mahu tergolong bersama orang-orang beriman. 

Bantu daku.
Bimbing daku Ya Rabb.
Kuatkan semangatku.
Beri daku jalan yang dekat padaMu.

"Wahai Allah yang berkuasa melakukan apa yang Ia kehendaki, curahkanlah ke atas kami kesabaran serta tetapkanlah kaki-kaki kami dan bantulah kami mengatasi orang-orang kafir."

Monday, February 6, 2012

Malam Ini

Malam ini
Muhasabah diri
Apa ruhi dan jasmani benar mencintai dirinya?
Apa amal selari dengan iman?
Mengaku dialah pemimpin agung kita
Tidakkah kita mencontohinya?

Malam ini
Cuba berteleku mengenalimu lagi
Mengingati sifat-sifat terpujimu
Dirimu sekudus akhlak Al-Quran
Sollu 'Alaik

SALAM MAULIDUR RASUL 1433 H

Thursday, December 29, 2011

Melankoli Disember|Sejuta Kemaafan

Bismillahirrahmanirrahim

Hari-hari yang kita lalui tidakkan indah selalu
Sekeping hati manusia mengimpikan ceritera ceria
Dikelilingi sahabat, insan tersayang
Cuma adakala kita tidak sedar ada di antara mereka terguris hatinya
Dan adakala kita sedar tetapi ego melangit tidak mahu mengakui
Ambil lah masa walau sekejap saja
Merenung kekhilafan diri
Muhasabah terhadap apa yang telah kita lakukan hari ini atau semalam
Sedu sedan di hadapan Allah lebih menenangkan
Meletak pengharapan padaNya
DIA yang menghadirkan ujian dan kesedihan
Maka DIA juga membuka jalan penyelesaian dan melahirkan kegembiraan

Mohon SEJUTA KEMAAFAN kepada sesiapa yang telah ku guriskan hatinya sama ada sedar atau tidak sedar.

Saturday, November 26, 2011

Atasi Kemurungan| Allah Sentiasa Memujuk Kita

Bismillahirrahmanirrahim

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta?

 (Al-Ankabut : 2-3)

Apa khabar teman?

Jenguk atau belum?

Haha perasan lah saya ni! Kalau dah lama catatan di sini tidak ada, mungkin sudah ramai yang tidak bertandang atau langsung tidak ada. Yang tekan unfollow pun ada. Tak kisah la...huhu

Kadang-kadang kalau sempat, saya singgah juga blog rakan-rakan lain walaupun tidak meninggalkan sebarang komen. Itu pun curi-curi baca waktu kerja. Agak-agak dah rasa stress sangat kerja, saya cari bahan bacaan santai untuk kurangkan keletihan berfikir. Manusia ni bukan robot, takkan la 5,6 jam kerja tanpa henti kan?

Sekarang saya memang kurang sangat perasaan nak menulis. Agaknya kesembuhan tu dah banyak.

Dahulu tujuan saya menulis blog hanyalah untuk kurangkan kesedihan, keserabutan, kekacauan atau dalam erti kata lain kemurungan! Tiada siapa sedar, tiada siapa tahu malah saya sendiri tidak perasan dengan perubahan diri saya sehinggalah umur saya 25 tahun!

Kira-kira dalam bulan April 2010 saya menyedari semua tu setelah bertemu dengan seorang sahabat, kakak dan juga bekas majikan saya. Dia nasihat saya, dia bimbing saya, dia bantu saya, dia sedarkan saya bahawa saya perlu usaha untuk pulihkan hati saya yang lemah dan sakit.

Syukur...Allah hantar seorang hamba solehah buat menuntun saya ke arah yang lebih baik.

Pelbagai cara dan usaha untuk saya beri ubat pada hati saya. Terkadang ada juga saya tergelincir sedikit, namun saya cuba cepat-cepat bangun balik. Walaupun saya berada di sini dan menjalani hidup untuk lebih tabah biarpun berseorangan, saya tahu insan tersebut sentiasa menitipkan doa buat saya dari jauh nun di sana.

Kemurungan atau Depression merupakan efek kepada tekanan atau masalah. atau kemarahan yang terpendam yang membuak-buak dalam diri seseorang. Mungkin pada awalnya hanya stress biasa, tapi lama kelamaan jika ia dibiarkan terlalu lama bersarang dalam diri kita, masalah kecil boleh tumbuh menjadi lebih besar. Kemurungan akan mengakibatkan perubahan negatif terhadap diri seseorang melalui:-

1) Fizikal
- Badan sentiasa lenguh - lenguh dan cepat letih
- Selera makan mungkin berlebihan atau berkurangan
- Kadang-kadang badan mengalami kekejangan
- Sakit kepala yang berpanjangan atau lebih tepat migrain
- Sembelit

2) Mental
- Amat sensitif, merasa tiada siapa yang mampu memahami dirinya
- Mudah menangis
- Hipokrit pada diri dan individu lain. Terlebih bergelak ketawa seolah-olah dia gembira tanpa ada masalah
- Suka berkurung dalam bilik
- Sukar mempercayai orang lain
- Sentiasa memikirkan perkara yang sedih. Kadang-kadang memikirkan perkara yang tidak realistik.

Apakah cara yang boleh membantu untuk keluar daripada kemurungan?

1) Sentiasa berdoa untuk mendapat sahabat yang baik, sudi mendengar setiap luahan kita sama ada gembira atau sedih.

2) Luahkan lah kesedihan, jangan biarkan tekanan hidup menguasai diri kita.

3) Jika mahu menggunakan pendekatan psikologi, cuba baling bola (jangan baling bola sepak pula, karang habis pecah cermin. hehehe) pada dinding rumah atau mana-mana dinding yang dirasakan sesuai. Bayangkan wajah sesiapa yang kita marah atau benci atau apa-apa saja yang menimbulkan kemarahan dan lempar saja ke arah imaginasi kita. Buat berulang-ulang kali sampai kita rasa lega.

Atau

Lukis wajah yang dimarahi atau benci atas kertas, campakkan kemudian pijak-pijak kertas tersebut sampai kita rasa puas.

4) Waktu hati kita tengah marah atau sedih, baca Bismillah 50 kali dengan bersungguh-sungguh dan khusyuk kerana waktu itu lah syaitan mudah sangat nak cucuk virus penghasut dia.

5) Keluar lah dari tempat yang buat kita rasa marah dan benci. Ramai yang menganggap cara seperti itu lari daripada masalah. Sebenarnya bukanlah lari daripada masalah, tapi berada berjauhan mungkin merupakan salah satu cara untuk ubatkan sakit sebegitu.

6) Lakukan aktiviti yang boleh mengecaskan balik neuron-neuron dalam otak seperti bersukan. Beriadah bersama kawan-kawan.

Setiap sakit ada penawarnya. Jika orang lain tidak boleh berubah, kita yang kena berubah. Jika kita sendiri tidak mahu usaha untuk mencari penawar, siapa lagi yang sanggup buat untuk kita. Hakikatnya, Allah sentiasa ada untuk kita, cuma kadang-kadang kita yang suka menutup hati kita dari mendekati dan yakin pada Dia dek terlalu mudah terpengaruh pada kata-kata yang tidak baik.

Bila kita sedih sebenarnya Allah lah yang selalu memujuk kita di balik helaian-helaian kitab suci Al Quran. Cuma kita saja yang degil tidak mahu mencari kalimah-kalimah pujukanNya. MasyaAllah.

Maka, ingatlah kita pada Allah setiap masa!

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."

(Ali Imraan : 139)

Sunday, October 23, 2011

Kembali

Bismillahirrahmanirrahim
"Allah..bimbinglah hambamu yang hina ini"

Sudah terlalu lama saya tidak meluangkan masa,menulis sesuatu di sini. Sungguh hati sedang mencari arah lurus kembali, cuba menjernihkan segenggam hati yang kian menghitam hari ke hari. Terasa apa yang saya buat semua tidak kena. Seakan Allah sedang memberi 'hint' pada saya bahawa diri ini makin lalai, iman menurun.

Sungguh pada saat ini saya mengharapkan hadirnya seorang sahabat yang bisa memimpin saya untuk membersihkan karat-karat di hati.

Hati saya jadi sunyi..
Saya jadi pemarah lebih daripada biasa.
Tahap sabar saya makin menurun.
Padahal Allah ada untuk saya jadikan tempat mengadu segala-galanya.
Tetapi kenapa saya masih begini?
Semua saya fikir jadi makin serabut
Padahal kadang-kadang apa yang saya fikir tu hanyalah perkara remeh.

Lalu bagaimana harus saya atasi?

Hari-hari saya baca mesej 'kakak':-

"Tuhan, kuatkan aku dalam menjalani hidup sendiri tanpa cinta, tanpa kasih sayang, tanpa sentuhan lembut orang yang pernah terlukis di hati"

"Innama'al 'usri yusra. Janji Allah! Allah is aware. Allah amat menyayangimu"

"Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu"

"Hasbunallahu wa ni'mal wakil"

Tapi kenapa kakak? Kenapa saya masih kaku?

Astaghfirullahal'azim...

Thursday, August 25, 2011

Ramadan Kareem 24 : Duka Atau Suka?

Bismillahirrahmanirrahim

"Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang benar" (At Taubah : 119)



Duka kah kita Ramadan tahun ini bakal pergi?
atau...
Suka kah kita kekangan hawa nafsu bakal melonggar diri?

Saf-saf tersusun penuh selama sebulan
Pada sejadah masjid sujud penuh sayu
Tatkala takbir terawih menyepi
Jemaah menurun bilangannyan di hari-hari seterusnya

Duka kah atau suka kah kita?


Tuesday, August 23, 2011

Ramadan Kareem 19 - 23 : Update Pukal | Smile Pleaseee

Bismillahirrahmanirrahim

"Senyum itu satu sedekah. Jadi senyumlah"

Lagi-lagi update secara pukal! Sebab notebook saya sudah sakit sekarang. Adehh..Ni pun tumpang update kat office. hihihi...

Macam mana puasa kita tahun ni? Ada kemajuan dari segi iman, akhlak dan ilmu? InsyaAllah, sama-sama kita berusaha untuk jadi lebih baik. Lailatul Qadar berada pada hari mana-mana di 10 Ramadan terakhir. Tiada siapa yang tahu bilakah Lailatul Qadar. Cuma mungkin tanda-tandanya sahaja kita boleh nampak. Itupun untuk hamba-hamba yang terpilih untuk mengecapi Lailatul Qadar. Walaupun begitu, kita juga harus berusaha untuk mendapatkan Lailatul Qadar. Jangan pernah lelah.

Itu hanyalah sekadar muqaddimah entri. hehehe..Ada sesiapa nak buat entri mengenai Lailatul Qadar? Kalau ada, beritahu saya ye lepas ni?

Update pukal saya ialah : -

Ramadan Kareem 19

Setiap orang pasti diuji kesabarannya. Lagi hebat ujian bila di bulan Ramadan. Sifat dan perangai manusia berbeza-beza walaupun ada juga persamaannya. Pabila sahabat sedang berdukacita, menangis sampai bengkak mata, tidak senyum seperti biasa dan membisu seribu bahasa tiba-tiba, kadang-kadang kita juga hanya perlu diam, memberinya ruang untuk bertenang. Tidak mengapa, mungkin dia punya insan lain yang buat dia lebih selesa untuk meluahkan duka di hati. Ok je kan? Dia dah senyum balik sekarang..:)

Ramadan Kareem 20

Baby Irdina Izzati menyerikan lagi majlis kami
 
Iftar bersama sahabat seuniversiti dan secourse dan sebatch di Baba Restaurant, Gombak. Yang hadir dalam 18 orang gitu. Seronok betul jumpa sahabat-sahabat lama. Kadang-kadang terasa baru saja grad walaupun dah setahun lebih. Yang paling penting, selera bertambah sebab makan ramai-ramai!hehehe...Ada yang cakap saya makin gemuk! Uwaaaaa, kerja pejabat macam ni lah kalau jarang bergerak...xoxoxoxo...

Ramadan Kareem 21

Saya tak suka tunggu orang berjam-jam tapi kalau berminit-minit ok lagi. 30 minit tu kira dah tengah timbul bara-bara. Nasib baik bulan puasa, sabar-sabar. Tapi tengok keadaan juga la, if reasonable alasan yang diberi, automatik baranya hilang. Tak baik marah-marah, kena buang sikap ni. Jangan jadi macam saya. hehehe...

Ramadan Kareem 22

Semua dah tak sabar nak balik raya. Lepas tu dok berkira-kira bila gaji nak masuk. hahaha...Saya baru nak save bajet tapi nampaknya raya ni lari la sikit bajetnya. Nak bagi angpau kat ma abah,adik2 dan sepupu sepapat yang kecik2. Yang besar dan sudah bekerja, of course la tak masuk dalam list. Parents are exceptable walaupun mereka dah bekerja!Wajib gembirakan hati mak ayah kita walaupun pemberian kita tak seberapa..:)

Ramadan Kareem 23

Mahu share kata-kata Norzailina Nordin, penulis novel Alaf 21 dan juga buku2 masakan.

Jika pada Aidilfitri kelak, bertemu anak dara atau teruna yg masih bujang (yg umur mereka sepatutnya dah kahwin), harap jangan tanya, "Bila nak kahwin?" tapi, doakan saja dlm hati, supaya mereka tu beroleh jodoh yg sesuai...

Jawab sahabat-sahabat saya :-

Soalan begitu amat sensitif buat anak dara seperti yang dinyatakan oleh Norzailina Nordin di atas. huhuhu...

Jadi, jangan tanya saya bila nak kahwin ok? Doakan saya cepat kahwin lagi bagus!hahahaha...

******

Nota Ramadan : Sesiapa yang dah selesai tadarus tu, jangan lupa inform saya ok?


Friday, August 19, 2011

Segmen | Kami Blogger Prihatin

  Bismillahirrahmanirrahim

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata, “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?” (QS Fushshilat : 33)



Sebenarnya saya dah letak sedikit info mengenai usaha IRM ni pada entri terdahulu sebelum saya join segmen ini. Cuma saya letak secara umum,bukan khusus. Jadi sekali lagi saya up entri khusus mengenai isu  kebuluran serius penduduk Somalia. Jengah jengah la di :


Gambar sangat banyak kat Google

Menyebarkan benda baik seperti ini mungkin nampak remeh di mata manusia, tapi ganjaran yang Allah bagi kita tidak tahu. Lagi-lagi di bulan puasa ni.Tak rugi pun kita ambil masa sikit untuk taip satu entri mengenai kesusahan saudara kita. Ayuh ramai-ramai sebarkan lagi blogger! Niat kerana Allah...:)

Klik pada header Ben Ashaari untuk pautan segmen...

 

Thursday, August 18, 2011

Ramadan Kareem 12 - 18 : My Life Is Getting Better But...


Bismillahirrahmanirrahim


 sumber : http://mykhilafah.com/sautun_nahdhah/SN091_Nuzul%20Quran_1427%20H.pdf

Begitu cepat masa berlalu. Memang sekejap. Sampaikan nak update blog pun jadi malas. Masa tu kejar melebihi saya kejar. hehehe...Semuanya aturan Allah bukan. Allah tidak pernah mengatur yang tidak baik untuk setiap hambanya. Dia sudah sediakan yang terbaik, yang paling bagus untuk kita. Bersyukur lah selagi kita diberi nikmat dan ujian dariNya. Tanda kasihNya pada kita.

Kurniaan sahabat yang mewangi.

By Google
Idah dan Khaty. Kenalkan housemates baru saya sejak saya pindah seksyen 7. Semua berlaku terlalu pantas.  Dari seksyen 7 ke seksyen 9, kemudian ke seksyen 7 balik.  Btw, Idah merupakan schoolmate saya di MMP. Khaty masih baru lagi saya kenal tapi macam dah lama kenal. Mana taknya, mesra orangnya. Mereka terima saya seadanya. Idah sudah berkahwin, sedang bertungkus lumus menyiapkan tesisnya untuk PHD, manakala Khaty master. Idah sangat rajin baca Al Quran dan solat sunat, secara tidak langsung beri impak pada kami. Buka puasa dan solat terawih secara berjemaah. Selalu dia yang jadi imamah terawih. Kalau time dia rasa tak larat, dia passkan pada saya. Tukar shift. Err berdebar kemain jugak la pertama kali jadi imamah terawih ni. Kalau dulu asyik tolak je bila orang suruh. Kali ni tak tahu la kenapa. huhuhu...

Ya melihat dia buat kami selalu ingatkan Allah. Syukur.

Doa ibu bapa.

Jika bukan kerana doa mereka berdua juga, rezeki saya takkan semurah seperti sekarang.  Rajuk lama dah kurang sikit kot. Kak Ina, apa pendapatmu? huhuhu...

Tok guru Quran.

Dah lama tinggalkan position ni sejak berhenti jadi guru. Dulu sempat jadi guru sekolah rendah dan menengah. Bezanya sekarang saya kena ajar orang dewasa. Khaty mintak tolong saya ajar dia untuk tahsinkan lagi bacaan Al Quran. Masih lagi cuba-cuba susun masa untuk ajar makhraj dan tajwid pada dia. Kadang-kadang lepas subuh dia akan baca depan saya dan saya betulkan. Doakan semangat dia kuat untuk tahsinkan bacaan Al Quran.

Ketenangan hati.

Tahun ni puasa dalam keadaan yang tenang. Banyak yang telah Allah jernihkan untuk saya. Banyak hint yang Dia bagi untuk saya mengharap padaNya Yang Satu. Pelbagai ujian kadang-kadang terasa amat berat sekali. Serasa begitu membebankan dan tidak mampu digalas. Namun sebenarnya, Allah telah sediakan kemudahan di hadapan sana. Bila hati terarah dengan betul, insyaAllah jalan-jalan penyelesaian yang baik dibuka olehNya.

Nikmat atau Dugaan?

Pada saat saya sedang meniti pada zon selesa sekarang, saya dikejutkan dengan perkhabaran buruk daripada sahabat yang jauh di mata, memberitahu rumahnya dipecah masuk pencuri. Hilang habis barang-barang berharganya sekelip mata. Ya Allah, tabahkan hati sahabatku ini!

Lapar dan dahaga

Pada saat kita berbuka puasa dengan penuh selera dan pelbagai juadah yang menarik, masih ada lagi saudara seislam kita yang tidak bernasib baik seperti kita. Jika kita tidak mampu menderma, apa yang kita boleh lakukan sebagai blogger? Mari sebarkan usaha IRM ini. Ayuh blogger!

sumber gambar : Ben Ashaari

Subhanallah... Ramadan yang memberi seribu erti. Rasa sedih la pulak Ramadan makin berlalu. Moga dengan Ramadan kali ini menjadi pemangkin untuk saya lebih kuat dan tabah di hari-hari depan yang saya tidak tahu apakah ranjau yang menanti. Menjadi lebih baik dari sebelumnya. Yang paling penting istiqomah. InsyaAllah!


Friday, August 12, 2011

Ramadan Kareem 11 : CintaMu





اللهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلُ الَّذِيْ يُبَلِّغُنِيْ حُبَّكَ، اللهم آمين


Wahai Allah... aku memohon cintaMu, jua cinta orang yang cintakanMu, dan amalan yang menyampaikan aku kepada cintaMu... Wahai Allah... terimalah permohonanku ini.

******

Syukran Ustazah Anisah Hannanah



Wednesday, August 10, 2011

Ramadan Kareem 10 : Kisah Talut dan Jalut Dalam Surah Al Baqarah



Bismillahirrahmanirrahim

ربنا لا تزغ قلوبنا بعد إذ هديتنا وهب لنا من لدنك رحمة إنك أنت الوهاب


Mari sama-sama kita hayati kisah Talut dan Jalut dalam surah Al Baqarah..Moga mendapat manfaat...Kisah ini terjadi pada zaman selepas Nabi Musa ketika orang Bani Israil meminta daripada nabi mereka iaitu Nabi Samuel untuk melantik seorang raja bagi memerangi Jalut yang mengusir kaum Bani Israil dari kampung mereka. 

Jalut merupakan pemerintah yang kejam pada waktu itu (mengikut apa yang diceritakan oleh sahabat saya. Tolong betulkan jika salah...)..Kemudian. Allah mengangkat Talut untuk menjadi raja mereka tetapi mereka membangkang, lalu didatangkan kepada mereka bukti yaitu Tabut, peti kayu berlapiskan emas yang didalamnya berisi ketenangan dan peninggalan keluarga Nabi Musa dan Harun (At Thobari).

Peperangan berlaku di antara tentera Talut dan Jalut. Daud (diangkat oleh Allah menjadi Nabi beberapa tahun selepas pemerintahan Talut) juga ikut serta dan dengan izin Allah Daud berjaya membunuh Jalut.

[246] Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: "Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah" Nabi mereka menjawab: "Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?," Mereka berkata: "Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?" Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

[247] Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu." Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata: "Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.

[248] Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman".

[249] Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".

[250] Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir"

[251] Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.

[252] Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah.



Sumber tambahan : http://majlisdzikrullahpekojan.org/content-layouts.html