Showing posts with label Ceritera. Show all posts
Showing posts with label Ceritera. Show all posts

Sunday, March 31, 2013

Pelit | Percutian Bermakna Seorang Pelajar

Menggamit kenangan.

Lama sudah tidak menikmati kehidupan sebagai pelajar. Hampir tiga tahun. Dalam masa hampir tiga tahun tersebut ku mula meneroka sisi hidup sebagai seorang buruh. 

Selepas graduasi pada tahun 2010, ku bekerja sebagai pembantu tadbir serta dalam masa yang sama sebagai seorang guru. Selama sepuluh bulan berkhidmat di salah sebuah sekolah rendah swasta di daerah kecil. Di sebuah bandar kecil yang dinamakan Pasir Mas.



Rintangan, duri dan luka ku pijak bersama perginya angin. 

Bekerja daripada bawah memberi pada ku pengajaran yang bernilai. Bernilai lebih daripada mutiara di lautan.

Kemudian aku ditemukan lagi dengan pengalaman baru pada bulan Februari, tahun 2011 di Kuantan. Juga menyandang jawatan sebagai guru. Kali ini lebih mencabar. Ku diberi amanah mengajar maddah Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Fiqh, Quran dan Tajwid. Berkongsi ilmu yang telah ku pelajari bersama anak-anak muda yang suatu ketika dahulu aku juga seperti mereka. Ada yang haus dengan ilmu, tidak kurang juga masih lagi mahu mengenal apa itu erti ilmu.


Berada di bandar yang aku sendiri tidak pernah terfikir untuk jejakkan kaki, merasai merah debu berterbangan. Di sana ku jumpa ukhuwwah yang manis. Cukup untuk simpan sebagai satu kenangan terindah. Kawan, ku sayang untaian persahabatan antara kita.

Begitu masa cepat berlalu sehingga aku ditawarkan pula jawatan baru dari Shah Alam sebagai pegawai tadbir di salah sebuah institusi pengajian swasta. 

Pengalaman berganda. Cabaran juga berganda. Perkara baru ku belajar. Mengenal rencah gaya orang Arab. Sehingga ku jadi lebih 'cengil'. Namun, kemanisan bersahabat tetap ada di sana walau berbeza sikap dan latar belakang.

Cerita ini ku simpan sebagai kenangan. Ku takkan pernah lupa.

Tiada rehat.

Pabila bergelar pelajar, kau dapat merasai cuti tanpa perlu dipohon atau mengambil tandatangan sesiapa biarpun ia sudah ditetapkan waktunya. Tanpa perlu ada rasa sakit di hati bila cuti tidak diluluskan. Waktu sebegini kau bisa pulang ke kampung halaman menatap wajah  kedut kedua orang tua mu.

Cuti separuh semester memberi ku peluang untuk melepas sedikit lelah yang telah terkumpul hampir tiga tahun. Lelah bekerja siang malam mengumpul wang untuk ku sambung pengajianku. Lelah menghadapi segala pancaroba yang ku kira ku sudah berjaya mengharunginya dengan bantuan dariNya.

Cuti kali ini agak memenatkan. Tidak dapat juga merasa air tangan ibu. Tidur juga tidak cukup, ditambah bahang mentari agak tinggi akhir-akhir ini. Cuti yang penuh dengan aktiviti. Menghadiri walimah, menziarahi nenek sebelah ibu, juga menyelesaikan urusan kewangan. Biar begitu, ku fikir itu lah perjalanan hidupku yang harus ku terima. Hidup yang tiada rehatnya dari ujian.

Kisah surat dari Tirana Aduka.

Sebetulnya surat dari Tirana Aduka ku terima sebelum cuti lagi. Suratnya ku selit dalam beg bersama-sama dengan surat permohonan pinjaman MARA.

Segala dokumen berkaitan dengan MARA perlu dibuat pengesahan. Ku pergi bersama abahku ke rumah Pengerusi JKKK untuk mengambil cop dan tanda tangannya. Setelah itu kami menuju ke Pejabat Tanah Pasir Mas untuk mematikan setem pada buku perjanjian. 

Setelah semua selesai, tiba-tiba ku teringat masih ada satu lagi dokumen yang belum disahkan. Abah seperti biasa membebel dengan kecuaianku. Kami bergegas menuju ke rumah Pengerusi JKKK kembali. Dalam perjalanan kami terserempak dengannya dari arah jalan yang bertentangan. Dia melambai-lambai tangan ke arah kereta yang dipandu Abah.

Sambil berlari-lari anak melintasi jalan raya, dia menghulurkan sampul surat ke arah Abahku serta mengalukan lagi ke rumahnya untuk mengambil tanda tangan sekali lagi. Tanpa membuang waktu, Abah membuka sampul, meraih isi kandungannya.

"Ni surat apa, surat teman lelaki Tini."

"Eh sporting pula Abahku ni", hatiku berdetik.

Aku mencapai surat tersebut dari tangan Abah. Ah, rupanya surat dari Tirana Aduka! 

"Bukan lah Abah, ini surat daripada penulis blog. Orang selalu baca blog dia, jadi dia mengirimnya sebagai tanda penghargaan buat pembacanya".

Maaf ya Tirana Aduka. Suratmu tercicir di rumah Pengerusi JKKK tanpa ku sedari. Hehehehehe.

Apa pun, suratmu masih dalam keadaan baik. Alhamdulillah.:)

Terima kasih tak terhingga untuk penghargaan seorang kawan. Ku persembahkan suratnya untuk tatapan semua. Tiada kontroversi, ada prestasi. Hehehehe.


Nota permintaan : Mahu surat lagi boleh? Hehehehe.

Nota pesanan : Cherish your life everyday!

Thursday, December 20, 2012

Ceritera | Keinginan dan Impian Perlu Seiring dengan Usaha


Nota Besar : Entri terbaru ini hanya lah sekadar entri suka duka. Ia merupakan kesinambungan entri saya INI.

Ujian Itu Beri Hikmah Atau Beri Lemah?

Hampir patah hati saya mencari teman untuk ke Panggung Bandaraya Kuala Lumpur. Untuk pasrah ke sana sendiri pada waktu malam saya sungguh tidak berani walaupun memandu kereta Proton Saga FL caffe latte saya. 

Sebenarnya saya memang tidak pernah sekali pun ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta. Hanya pernah menggunakan pengangkutan awam seperti bas, LRT, komuter, monorail dan STAR jika menjejakkan kaki ke sana.

Jujur saya akui, saya memang tidak suka bandaraya Kuala Lumpur kerana kebanjiran manusia dan kepadatan bangunan dari dulu hingga lah sekarang. Itu faktor pertama. Faktor kedua disebabkan trauma zaman kanak-kanak saya terhadap orang India yang tidak boleh saya kongsikan di sini.

Berbalik kepada pencarian teman untuk menemani saya ke sana kembali. Rata-rata teman sepejabat tidak dapat menemani saya berikutan status 'TIDAK PASTI'. Maka saya anggap mereka tidak dapat menolong saya di atas sebab-sebab tertentu.

Allah uji saya awal-awal lagi.

Saya hiba. Dusta jika saya kata saya tidak menangis.

Saya pujuk hati saya dan terus berdoa. Akhirnya Allah hantar dua orang sahabat untuk menemani saya ke sana iaitu Zila dan Rosli. Mereka berdua ini lah yang bersusah payah ke sana sini dengan saya sepanjang perjalanan.

Pertama kali menyusur jalan ke Kuala Lumpur, ditemani adik-adik yang sangat baik buat saya berani dan yakin. Sebagaimana yang telah dijangka, jalan raya penuh dengan kenderaan. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam daripada Taman Melati walaupun destinasi bukan jauh sangat sepertimana masa yang telah diperuntuk.

Selepas dua kali kami berlegar-legar mencari parkir di sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad, akhirnya saya membuat keputusan untuk parkir seketika di hadapan Dataran Merdeka. Saya lihat ada beberapa orang pelancong bergambar kenang-kenangan sesama mereka di tempat tersebut.

Kemudian, kami bersama-sama menuju ke Panggung Bandaraya dengan berjalan kaki. Di hadapan pintu utama tertera banner 'Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Esei Jawi 1Malaysia'. Pada mulanya saya mahu meluru masuk ke dalam panggung tetapi saya pusing kembali ke arah kaunter.

"Assalamualaikum. Raptai masih ada?", saya bertanya pada seorang wanita di kaunter.

"Raptai sudah habis dik. Siapa nama adik?", balas wanita itu sambil tersenyum.

"Fatini Fauzi", saya memberitahunya.

"Oh Fatini. Maaf ye adik, raptai tadi sekejap saja, tak lama. Adik boleh daftar dulu tapi malam ni pastikan adik datang balik sebelum jam lapan malam", dia menerangkan kembali.

"Ye ke. Saya baru sampai. Jalan jam sangat tadi.. Oh ya, dekat sini ada surau tak?", saya menghulurkan pertanyaan lagi.

"Maaf adik, kat sini memang tidak disediakan surau", dia memohon maaf sekali lagi.

Kami bertiga memandang satu sama lain. Seolah memahami perasaan dan persoalan dalam diri masing-masing.

Hari tersebut bukan saya saja diuji, kami bertiga. Kami keluar dari situ dengan kecewa. Kenapa tidak disediakan surau sedangkan tandas boleh? Kenapa?

Walaubagaimanapun kami masih bersyukur kerana pihak urusetia menghulur makanan petang untuk kami bertiga. Kami makan dengan agak laju kerana masih belum menunaikan solat asar.

Selepas makan, kami menuju ke kereta kembali. Saya mencari parkir yang agak selamat dan paling dekat dengan destinasi. Kami ke PB semula untuk mengambil beg sandang saya yang telah tertinggal. Nasib saya baik kerana beg itu masih berada atas kerusi. Alhamdulillah.

Kemudian kami berjalan kaki lagi menuju ke Masjid Jamek. Ujian lagi bila Masjid Jamek ditutup atas sebab kerja-kerja penambahbaikan sedang dilakukan.

Kami meneruskan langkah kaki ke Masjid India pula. Itu lah pilihan kami terakhir. Sepanjang langkah saya berdoa :-

"Ya Allah mudahkan urusan kami. Mudah kan kami untuk menunaikan kewajipan kami yang satu ini"

sambil diiringi dengan zikir. 

Dengan kehendak Allah jua kami dapat juga melunaskan kewajipan menunaikan solat. Kami melepaskan lelah seketika selepas solat Asar sambil menunggu juga masuknya waktu maghrib.

Selesai saja solat maghrib, kami bergegas kembali ke PB. Kira-kira dalam sepuluh minit kami tiba. Saya meminta saja Rosli menunggu di pintu masuk PB, manakala saya dengan Zila menuju ke kereta kembali untuk membuat transformasi pada diri saya. Keadaan begitu sukar tapi syukur dengan bantuan Allah, saya dapat selesaikan dalam masa 20 minit.

Sekitar gambar sebelum majlis berlangsung dan selepasnya.
Selesai majlis penyampaian, ada persembahan teater bangsawan bertajuk:
 'Dendam Tantari'
Terima kasih Allah. 
Terima kasih adik-adikku Zila dan Rosli. Mereka pengganti keluarga saya berkongsi kegembiraan.

Tidak lupa juga kepada Nyssa yang sudi meminjamkan kamus jawi terbitan DBP kepada saya serta teman-teman lain yang mendorong saya dan berdoa untuk saya.

Usaha, Doa, Tawakkal dan Syukur.


Saya sedar Allah tidak mahu saya melakukan sesuatu tanpa usaha dan doa. Untuk mendapatkan sesuatu yang kita inginkan, tidak semudah itu kita akan dapat. Jalan-jalannya pasti ada liku dan cabaran. 

Bila saja saya mendapat perkhabaran saya mendapat tempat saguhati dalam pertandingan tersebut, ianya juga tidak mudah untuk saya menghadiri majlis penyampaian hadiah. Juga Allah hadirkan ujian dan dugaan buat saya.

Maka, ini lah hasilnya. Rezeki yang datang tidak disangka-sangka. Rezeki untuk saya menyambung pelajaran di peringkat sarjana pada awal tahun depan (ini hikmah yang saya nampak). Bilamana kita memasang niat yang baik, mesti Allah kurniakan yang baik-baik.

Apa yang paling penting USAHA >DOA >TAWAKKAL > SYUKUR.

Apa pun, bukan saya sahaja yang mendapat saguhati. Seramai tujuh orang dalam setiap kategori mendapat hadiah berupa wang tunai, komputer riba, sijil dan juga buku dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Pelajaran Malaysia, Utusan Melayu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pertandingan ini terbuka kepada tiga kategori iaitu Kategori A, B dan C. 

Mungkin selepas ini rezeki anda pula di luar sana?

InsyaAllah sama-sama kita usaha.

Friday, December 7, 2012

Ceritera | Kadang-kadang Rezeki Datang Tidak Disangka-sangka



Saya berkunjung lagi ke UIA tiga hari sebelum ini. Tempat menuntut ilmu yang tidak akan pernah saya lupakan seumur hidup saya. Walaupun hanya memijak tanah UIA untuk urusan yuran pengajian Sarjana, perasaan tenang pasti saya rasa saat stereng kereta saya pulas masuk melalui pintu pagar utama UIA.

Saya sampai di UIA agak lambat, kira-kira pukul 2.30 petang kerana waktu paginya ada temujanji dengan doktor bedah.

Perut keriuk keriuk berbunyi pinta diisi.

Kereta saya parkir di Kuliyyah Ekonomi. Kemudian melajukan langkah ke kafetaria untuk bertemu Zila, sahabat yang saya kenali sewaktu Ijazah Sarjana Muda dahulu. 

Zila major dalam Psikologi, manakala saya hanya minor saja tetapi major dalam Bahasa Arab dan Kesusasteraan.

Saya menunggu Zila kira-kira sepuluh minit. Walaupun perasaan lapar begitu tinggi, saya mesti tunggu dia dulu.

Sebaik saja Zila tiba, saya meminta izinnya untuk membeli sarapan tengahari walaupun tengahari sudah lama berlalu. Saya ambil saja mana-mana lauk yang ada. Saya memang jenis yang tidak cerewet makan. 

Harga makanan hanya tiga ringgit! 

Lebar saya senyum. Jauh-jauh datang, harus lah murah makan. Minyak dan tol pun dah berapa saya habiskan.

Selepas bersantap, kami menuju ke pejabat bendahari untuk mendapatkan surat pengesahan bagi pengeluaran pendidikan dari KWSP.

Surat pengesahan dari bendahari tidak dapat saya ambil lantaran saya menangguh pengajian saya ke semester depan. Pihak bendahari perlukan nombor matrik baru untuk release surat. Nombor matrik baru pula hanya boleh didapati setelah saya membuat pendaftaran kelak.

Zila setia menemani saya walaupun kedatangan saya ke sana Allah tidak izinkan saya untuk mengeluarkan lagi duit KWSP buat menanggung yuran pengajian saya. Tidak mengapa, hanya sementara waktu. Hanya sedikit kecewa saja.

Kami berdua keluar dari situ. Terus berjalan-jalan sampai depan masjid Sultan Haji Ahmad Shah. Ada beberapa gerai dibuka di hadapan masjid. Ianya juga berdekatan perpustakaan UIA.

Saya membelek-belek beberapa jenis tudung dan juga stokin Syria. Kebetulan kawan sepejabat saya mengirim stokin jika saya singgah di UIA. Tudung tidak jadi beli tetapi stokin yang saya beli. 

Kalau ikut kehendak, memang mahu sambar saja tudung di sana. Bagi saya, UIA adalah 'syurga' tudung dan busana muslimah. Oleh itu, kalau tidak hati-hati mengawal kehendak tersebut, parah nanti. hehehe..

Gerai demi gerai kami kunjungi. Sehinggalah ke gerai aiskrim.

"Nak aiskrim tak?", saya menawarkan pada Zila. Niat mahu belanja kerana dia bersusah payah menemani saya di sana.

Zila mengangguk laju. Aiskrim memang enak dinikmati tatkala matahari juga enak memancar garing. Basahkan tekak masing-masing dengan makanan sejuk. Zila memilih aiskrim kon perisa strawberi dan vanila, manakala saya pula memilih perisa vanila sahaja. 

Satu kon seringgit. Beli dua, dua ringgit la. hehe. 

Makanan murah lagi. 

Tak sabar rasanya mahu jadi pelajar.

Ketika sepasang kaki kami masih meneruskan rondaan, telefon bimbit saya melagukan lagu Freedom oleh Maher Zain. 

"Usrati Ma"

Itu nama ibu saya yang saya simpan dalam telefon bimbit. Semua nama ahli keluarga saya akan dahulukan dengan nama Usrati di hadapan, kemudian disusuli dengan nama panggilan masing-masing.

"Helo assalamualaikum", saya menyapa.

"Waalaikumussalam. Macam mana pergi hospital pagi tadi? Apa kata doktor?", ibu bertanya penuh tenang.

"Alhamdulillah positif. Tidak ada apa-apa. Doktor nasihatkan orang turunkan berat badan. hehehehe..", saya ketawa serentak dengan ibu.

"Orang kat UIA ni. Ingat nak uruskan yuran pengajian. Tapi tak dapat juga nak keluarkan duit KWSP untuk bayar yuran pengajian disebabkan orang tangguh semester. Nampaknya kena pakai duit sendiri juga la.", saya menambah lagi.

"Duit simpanan sikit-sikit tu ada tapi masih tak cukup.", saya mengadu lagi.

"Tak apa lah, ma tambah la mana-mana yang tidak cukup.", ibu membalas.

"InsyaAllah orang cuba cari duit lagi untuk bayar yuran.", tawaran ibu tidak saya tolak, juga tidak berkata saya rela menerima dengan hati senang.

Saya sebolehnya tidak mahu susahkan ibu dan abah saya lagi. 

Dan hari-hari otak saya ligat mahu cari duit lebih lagi.

Pasti ada. 

Ya, minggu depan mungkin waktunya.


Kadang-kadang rezeki akan datang tanpa disangka.

InsyaAllah. Doakan saya.

Tuesday, July 17, 2012

Motivasi | Give To Others, Allah Will Give To You Back


I'm trying my best whatever it takes..Give Give Give..As long as I could..Husnuzzhon to Allah always..If I give to others,I will be given by Allah back..Try your best!Fa Sobrun Jamiil...

Kadang-kadang saya rasa diri saya dicampak ke sana sini oleh insan terdekat. Ditambah lagi munculnya tekanan kerja dan orang-orang sekeliling yang membuat hati saya makin sakit. Mudahnya hati berasa sakit. Ia buatkan diri saya jatuh dan terduduk seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa. 

Emosi saya sedang jatuh. Ketika ini, Allah saja yang sentiasa mendengar, melihat dan memberi yang terbaik buat diri hambaNya. 

Allah temukan saya lagi dengan insan,sahabat,kakak atau bekas majikan saya dulu. Kata-katanya sentiasa buat saya tenang, memberi saya ruang kembali untuk bertafakur dan muhasabah. Tiada ujian daripada Allah yang tidak baik untuk kita. Walau dari luarannya kita nampak ia derita dan sengsara tetapi percayalah ada ganjaran yang lebih baik yang akan Dia gantikan untuk kita.

I will always try to forgive myself and other people!

Take care of myself in order to take care of others!

And today I have to take care my anak buah, Adam Hakim. Maaf saya terpaksa ambil cuti hari ini, menggantikan Mummy nya yang tiada di sisi sekarang. Just for today. Memandangkan agak kalut untuk saya pergi kerja disebabkan tempat kerja jauh dan juga faktor-faktor lain seperti minyak, tol dan kesihatan saya sendiri, maka saya memilih untuk cuti.


For the first time saya belajar sediakan solid food untuk adam, masak bubur dan blend. Walaupun kena bangun awal dalam pukul 5.30 pagi, namun keseronokan tetap ada, lagi-lagi bila Adam bangun tersengih-sengih, cakap seorang diri dan menendang-nendang saya supaya bangun solat Subuh.hehehe..Itulah kebaikannya. Adam is a good boy. Hanya menangis nak berak, nak susu and nak tidur sahaja. Cuma dia akan meragam lebih bila tidak sihat sahaja. Kebiasaannya bila saya ada je, wajib bagi 'emas' kat saya. Kadang-kadang baru sampai rumah Mummy nya, tiba-tiba ada bunyi 'pretttttttt' dari dalam pampers!hahaha...

Tokma kata budak sayang kita kalau dia selalu bagi 'emas'...:)

Haaa, I think I need to sleep too now. Sementara Adam tengah tidur, baik saya join juga. Karang dia bangun, kena guna banyak tenaga untuk melayan. weeee!

Dreaminggggg....zzzzzz...

Tuesday, June 5, 2012

Puisi | Mungkin Rasa


Ketika rasa mahu menggapai segalanya
hanya mungkin pada sesetengah saja
ku mahu capai awan di langit
ku mahu miliki bintang suria bulan
ku ingin terbang bebas
tidak mungkin
impian tajam menghakis dinding harapan
bertemu puing rasa
awalnya semanis kurma
tengahnya masam-masam mangga
akhirnya pahit hempedu, kelat herba
Rasa hadir ketika mahu merasa
Hilang rasa pabila terasa

Embun Melati
050612
3.18pm

*******

Tahniah Kak Long!


Dulu masa saya konvo, tak sempat bergambar macam ni. Tapi tidak mengapa, konvo master saya kena laksanakan gambar macam nih. 

Rasa best bergambar sebegini. hehehe. Pose saya spoil la pulakkkk...

Err, puisi kat atas tu tiada kaitan ye dengan potret kami. Sekian.

Monday, May 14, 2012

27


I am officially 27 years old yesterday which is on 13 May 2012.

Terima kasih sahabat untuk doa kalian. Penuh dinding muka buku kelmarin dengan ucapan selamat hari lahir dan doa. Paling terharu apabila ada sahabat yang mengimbau kenangan kami berdua semasa kami bergelar pelajar suatu ketika dahulu.




Doa Hari Lahir:

"Ya ALLAH, panjangkanlah
usia hamba-Mu ini, agar lebih lama dapat dia mentaati-Mu. Jadikanlah
kehidupannya sebagai ladang, moga di akhirat kelak dapat hamba-Mu ini
mengutip hasilnya.Ya ALLAH, tambahkanlah amalan hamba-Mu ini di
saat bertambah usianya. Jadikanlah cahaya-Mu yang bersinar menyinari
jalannya. Rehat hamba-Mu ini ialah rantaian zikir, rantai yang dia
kalungkan pada lehernya, sebagai tanda cintanya pada-Mu.Ya
ALLAH, janganlah Engkau mensia-siakan segala usaha hamba-Mu ini mencari
haruman syurga ciptaan-Mu, tempat rehat dan nikmat abadi. Amin..."

Wednesday, February 22, 2012

Kerenah Pelajar Berumur (Ayat Sopan)

Bismillahirrahmanirrahim

Kerenah manusia ni pelbagai. Dari kanak-kanak sampai lah kepada yang berumur. 

Buat masa sekarang aku masih lagi meneruskan tugas berbaki melayan kerenah-kerenah pelajar yang amat merimaskan bila ada exam. Jenuh. Pelajar Melayu ok lagi, bila bab pelajar Arab2 nih, huiiiii sangat penat. Tak semua yang mengkacau bilaukan otak aku, yang ok tu, ok juga. Yang tak perlu tanya pun dia tanya. Yang perlu ditanya, tidak pula ditanyai.

Hari ini aku kena lagi menjawab soalan-soalan pelajar berumur yang tak juga faham-faham macam mana nak guna ALIM (Advance Learning i-Management System) bila tiba exam. Adoiii. Soalan yang tidak berkait pula yang dia dok keluarkan.

كبار السن : ما اسمك؟
أنا : فاطيني.
كبار السن : اوهههه..اسمي أسامىء.

كبار السن : أنت ماليزي؟
أنا : نعم ماليزية أصلية.
كبار السن : ما شاء الله.

بعد تم الامتحان......

كبار السن : شكرا جزيلا ولكن الامتحان صعب.
أنا : لماذا، لا تقرأ؟
(كبار السن : اررر (يبتسم

كبار السن : رقم هاتف؟
أنا : لماذا؟
كبار السن : للاتصال.أنا : لا يحتاج.




?Pelajar berumur: Siapa nama awak
Aku: Fatini
Pelajar berumur: Ohh..saya Osama
 Aku (dalam hati): “Tak tanya pun” sebab memang dah sedia maklum kat atas kertas

?Pelajar berumur: Awak orang Malaysia
Aku: Ya, Orang Malaysia asli
Pelajar berumur: MasyaAllah

...Selepas exam selesai

Pelajar berumur: Terima kasih banyak2 tetapi exam susah
Aku: Kenapa, awak tak membaca
Pelajar berumur: Errr…(senyum kambing)

Pelajar berumur: Ada nombor telefon
?Aku: Kenapa
Pelajar berumur: Untuk menghubungi
Aku: Tak perlu


 . Sungguh dingin jawapan aku. Malas nak layan kerenah Pak Long

Monday, February 6, 2012

Ceritera | Perjalanan Jauh

Bismillahirrahmanirrahim

Makin pantas masa berlalu. Hati seakan tidak mahu melepaskan segala memoir indah. Apakan daya, aku hanya insan biasa menelusuri jalan-jalan yang sudah ditetapkan buatku. Aku hanya mampu merancang, Allah yang menentukan segala perancangan.

Sudah agak lama aku tidak pulang ke kampung. Makanya, bila ada peluang untuk bercuti bagi fasa pertama, aku mintak cuti sederhana panjang. Bukan selalu boleh cuti macam ni. Fasa kedua juga bakal muncul (rahsia majikan,wahahaha)

Teruja.
Budak-budak tengah exam

Antara tidak sabar dan berbaur gembira, memang macam-macam yang dirancang dalam kepala ni. Manakan tidak, sibuk sangat kerja sebelum bercuti. Tak cukup tidur, terlebih makan semua ada bila musim exam pelajar tiba. Sampaikan kawan aku habaq aku ni dah tak sabar nak balik walaupun sibuk urus hal-hal exam.  Memang betul pun apa dia kata. Apa taknya, malam sebelum balik kampung aku memang tak boleh lena. Teruja kan..

Plan asal ditukar.

Pada mulanya aku mahu bertolak balik Kelantan pagi Ahad, 22 Januari 2012, berdua dengan kawan. Konon la nak berehat secukupnya hari Sabtu akibat keletihan bekerja, tapi saat-saat aku keseorangan di rumah sewa waktu tu, kebosanan yang amat, lalu aku menukar fikiran untuk balik juga Sabtu malam iaitu malam Ahad, konvoi dengan kawan lain. Dalam hati masa tu, "berani ke aku nak drive memalam ni balik Kelantan?"..Huii, mana la aku tak nebes, tambah lagi first time memandu jauh balik kampung nih. Namun, aku tidak cepat patah semangat, aku cekalkan hati. Kami bertolak dengan dua buah kereta, aku dengan Huda. Manakala sebuah lagi Zimah, E dan adik dia. Aku terpaksa drive seorang ditemani Huda. Letih sangat2! Kaki jem lepas sampai ke destinasi. Aku singgah rumah Huda dulu di Pengkalan Chepa untuk caj balik tenaga. Sampai sana kira-kira dalam pukul 5.30 pagi. 

Surprise.

Sebenarnya keluarga aku tidak diberitahu plan asal ditukar. Memang terkejut abah bila aku inform dah sampai Pengkalan Chepa. Sengaja aku tidak memberitahunya sebab abah pasti tak boleh lelapkan mata jika dia tahu anaknya memandu jauh, tambah lagi pemanduan tidak ada giliran sebabnya Huda tak berani nak drive. Nasib baik abah tak membebel. hehehe...

Mode Perumah.

Maklum la dah lama tak pulang ke kampung, maka asyik melekat di rumah, jarang keluar jalan-jalan. Aktiviti ziarah pun tak sempat dihabiskan memandangkan aku terpaksa datang awal ke Shah Alam.

Adam Hakim.

Oh budak ini semakin membesar dan kuat menyusu. Bila tiba waktu mandi, senyap je duduk dalam besen Tokma mandikan. Bila Mama Tini nak basuh kencing berak dan pakaikan baju, jarang betul suaranya tidak dibunyikan. Adam Hakim suka orang bercakap dengan dia. Senyum pun dah pandai. Mama Tini rindu Adam!

Universiti Malaya dan Kuala Lumpur.
wajah ceria adikku

Hari Khamis lepas aku terpaksa bertolak awal ke sini oleh kerana dikehendaki menguruskan hal adik perempuanku, Fatma. Tumpang bangga sebab dia dapat sambung master di Universiti Malaya. Keesokan harinya, pertama kali juga aku sampai di tengah-tengah Petaling Jaya dengan memandu kereta sendiri, bezanya kali ni ditemani abah. Pening betul jalan KL ni, asyik makan buah langsat je kat situ. Kata abah la tu makan buah langsat, maksudnya sesat! Tekanan betul la drive kat KL ni. Syukur la aku kerja kat Shah Alam yang tak berapa sibuk jalannya. Di KL tiap-tiap hari ada kesesakan jalan raya. Tabik betul la sesiapa yang boleh sabar berada di jalanraya KL. 

Selamat tiba kembali.

Alhamdulillah aku sekarang berada di Shah Alam bersama adik. Hari Rabu ni baru aku akan hantar dia mendaftar di UM. Hari Jumaat minggu lepas hanyalah taklimat untuk pelajar Postgraduate baru. Tak tahu la macam mana pula keadaan kami nanti, takut makan buah langsat lagi je..=P

Setitip rasa : Saja mahu guna kata ganti nama 'aku' balik. 'Saya' atau 'Aku' sama saja cuma bunyi nya jadi lain..hehehe...Maaflah terlebih taip la pula..Panjang sikit..

"Pahala besar bila pandang wajah kedua ibu bapa dengan penuh kasih dan ihsan"

Saturday, December 24, 2011

Adam Hakim

Bismillahirrahmanirrahim

Tiba-tiba saja saya rasa nak menimbulkan diri setelah sekian lama. Sebab saya happy sudah jadi ibu. Erk??Ibu?? Eh bukan bukan, silap taip..Ibu saudara. hehehe...

Adam Hakim tengah tidur

Syukur alhamdulillah pada 21 Disember 2011, Kak Long saya selamat melahirkan anak lelaki seberat 3.08 kg yang mungkin diberi nama sebagai Adam Hakim. Saya cadangkan Adam Wafiy dan pagi tadi ada juga terpacul nama lain iaitu Adam Hussaini ketika sembang ringan dengan atuknya. Apa pun, terserah pada Mummy nya nak letak nama apa. Tak kisah la asalkan maknanya bagus..:)

Hari ni Adam terpaksa ditahan wad sebab kuningnya tinggi. Kesian Adam. Sementara saya di rumah Kak Long, saya bantu dia apa2 yang patut. Panaskan air untuk dia mandi, urut kaki sembap dia sikit2, letak ubat barut di perut, pakaikan stokin.

Pengalaman sikit-sikit jaga orang bersalin ni ada la juga walaupun tak banyak. Dulu pernah jaga mak sewaktu dia melahirkan adik no 7 dan bongsu. Tolong mak bertungku, letak halia kat perut untuk bengkung, basuh kain lampin, baju adik dan lain-lain.

Lepas cuti Krismas ni, rindu-rinduan la saya kat Adam nanti. Kalau tak kerana student nak exam, saya tambah cuti dah. huhuhu

Adam...moga Adam jadi anak yang soleh dan menghormati kedua ibu bapa Adam. Dah besar sikit nanti, boleh la belajar mengaji dengan Mama Tini. InsyaAllah..

Sayang Adam!

Thursday, December 1, 2011

Meluah

Bismillahirrahmanirrahim

Peratusan penat bekerja makin surut. Untuk seketika watu cuma sudah memadai, asalkan minda dan badan dapat berehat sedikit. Bila sibuk boleh juga lupakan perkara-perkara yang tidak mengenakkan jiwa. Suka juga bizi bizi nih, terasa macam pekerja yang rajin. Ok, terlebih puji diri sendiri. Full stop.

Bulan ni saja banyak sangat jemputan walimah sahabat-sahabat. Mana satu nak pergi ni??

Friday, July 29, 2011

Jarum...Grrrrrr

Menunggu giliran
Hidup memang penuh dengan dugaan. Baru saja duduk dalam zon selesa, ada saja zon bahaya di depan atau zon hati-hati kemudiannya. Bak kata Adik Atiqah:-

"Kita ni banyak betul ujian kan? Tapi...itu tandanya Allah sayang kita..."

Sakit itu nikmat. Nikmat bila kita sabar dengan ujian kesakitan. Nikmat bila kita ingat pahala yang akan kita peroleh jika sabar dengan sakit. Selama lima hari demam, ditambah lagi dengan migrain memang betul-betul menguji kesabaran saya.
Meh ambik ubat meh!
Alhamdulillah hari ini Allah telah bagi saya kekuatan dan kesembuhan untuk datang bekerja. 2 hari lepas saya MC. MC sehari dari DEMC, Shah Alam dan sehari lagi dari Klinik Noridah kat Pusat Komersial Sek 7. Blood test dibuat 2 hari lepas di DEMC Shah Alam, namun syukur tidak ada apa-apa. Saya sebenarnya agak berat untuk buat blood test masa tu sebab urat pada lengan saya susah nampak, membuatkan doktor atau pembantu perubatan sukar mengambil darah saya, sekaligus rasa sakit terbayang-bayang di ruang minda.

Bayangan minda ternyata betul apabila pembantu perubatan cuba mengambil darah dari bahagian tengah lengan saya. Pada mulanya dia cuba ambil dari lengan kanan, tapi tidak berjaya. Tekan-tekan tak jumpa juga urat. Disuruhnya saya hulurkan lengan kiri pula. Saya ikut je sebab saya dah banyak kali buat blood test sebelum ini. Malangnya jarum yang telah dimasukkan ke dalam isi, dipusing-pusing banyak kali, keluar masuk banyak kali, tapi darahnya tidak dapat ditarik keluar ke dalam picagari. Sakit tahu? Lagi sakit (yang ni sakit  yang nak hangin tapi ditahan) bila dia tanya:-

"Sakit ke? Kalau sakit bagitahu"

Dah namanya jarum cucuk ke dalam isi, memang la sakit. Tak perlu ditanya, saya bukannya budak kecik. Dulu pernah juga kena macam ni, lagi teruk, banyak tempat dicuba jururawat untuk ambil darah. Nasib baik yang ini tak lama. Tapi memang tahan sakit la jawabnya. Sabar sabar.

Tunggu keputusan blood test dalam 15 minit, kemudian saya dipanggil doktor lagi. Syukur keputusannya melegakan hati. Doktor bimbang saya terkena denggi. hehehe. Bila sampai masa untuk bayar ubat-ubat dan lain-lain caj di farmasi, dapat pula gelaran 'puan' oleh staf kat kaunter. Adoiii, sadis betul!

"Puan Fatini ye? Bayaran semua sekali RM 83.90" (balas dengan senyuman tak ikhlas walaupun dalam hati panas. grrrr)
 Oh ubat ubatan!


Perggghh, melayang gitu je duit. Tak mengapa, boleh claim dengan Mediu. ngehehehe~

Apa pun, kesabaran di mana-mana sahaja boleh teruji tidak kira tempat atau masa. Yang penting kita mesti selalu ingat, sabar itu pasti membuahkan hasil yang tidak ternilai. Allah kan suka orang-orang yang sabar. Tak gitu? InsyaAllah kesabaran kita akan dihitung walaupun hanya sebesar zarah sekalipun.

إن الله مع الصابرين

********

Peringatan: Pembahagian juzuk untuk tadarus telah siap. InsyaAllah saya up kan entri selanjutnya untuk Ramadan Kareem: Mari Bertadarus. Saya juga akan emailkan pada setiap peserta juzuk masing-masing yang akan dibaca pada bulan Ramadan nanti.

Monday, July 18, 2011

Hari Gembira. My New Car Will Arrive Soon


Bismillahirrahmanirrahim.

Ada masa kita gembira, ada masa kita akan sedih. Ada masa rezeki melimpah ruah, ada masa kita diuji dengan duit yang mengalir macam air. Perghh, duit duit. Masuk gaji rasa macam masyuk, lepas saja bayar itu ini, terduduk juga. Hehehehe..

Tapi syukur, hari ini hari gembira saya. Satu sebab saya cuti daripada bekerja. Ambil cuti ganti sebab mahu uruskan pasal kereta. Macam bermimpi pun ada nak beli kereta. Kalau dulu-dulu berangan je lebih nak beli kereta sendiri. Alhamdulillah sekarang rezeki saya ada untuk pakai kereta. Hehehehe...

Sejam lalu saya bersama-sama dengan abah dan juga sahabat baiknya pergi jumpa ejen Proton untuk uruskan pasal kereta. Bank loan pun dah lulus. Hanya tinggal untuk sign agreement dengan bank sahaja. Kalau tidak ada aral apa-apa, dalam minggu ni saya akan dapat kereta. Tak sabar rasanya nak pandu kereta sendiri. 

Abah saya dok bakar-bakar sikit semangat saya tadi. Saja nak uji saya ni boleh uruskan duit dengan baik atau tidak.

"Lepas ni, tak cukup duit mesti dok calling calling abah mintak"

Abah cakap ada gaya sindir2 sambil angkat kening dan mencebik bibirnya. Dia cakap macam tu sebab adik beradik saya yang lain selalu mintak duit dengan dia atau ma saya kalau tak cukup duit, walaupun dia orang sudah bekerja.

Saya jawab dengan penuh keyakinan tadi sambil melemparkan senyuman dengan tenang walaupun dalam hati ada sedikit rasa bimbang.

"Kalau tak mintak macam mana?"

Abah tergelak je. Yelah, bila pakai kereta ni banyak lagi nak kena fikir. Bayar tiap2 bulan lagi, minyak kereta, servis. Penambahan bajet tu jadi naik daripada sewa rumah,bil air dan elektrik, broadband, makan. InsyaAllah abah, anak abah yang ini cuba sebaik mungkin. Nanti, akaun bank abah pulak Tini penuhkan. InsyaAllah berkat doa ma abah, rezeki Tini lagi melimpah ruah lepas ni. Aameen.

Saya memang suka nak merasa susahnya uruskan hidup sendiri, berdikari bayar itu ini dengan duit sendiri. Sebelum ni, kita hanya tengok saja mak ayah uruskan duit untuk keluarga. Kali ni, saya akan tempuh semua tu sendiri walaupun hanya untuk diri sendiri. Untuk keluarga sendiri tu belum la sebab tak nikah lagi. Boleh tolong ma abah dan juga adik beradik saja setakat ini.

Allah with me. Friends with me. Your دعاء also with me. Isn't it? :)

Tuesday, July 12, 2011

Al Fatihah Cikgu...

 Gambar arwah pada petak kecil

Setiap yang hidup pasti akan mati.

Saya tidak dapat menahan airmata saya dari menitis. Sebak terasa sangat. Sesampai sahaja ke pejabat, saya buka laman sosial facebook dan melihat gambar tangisan kenalan bekas guru saya di Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu yang tidak dapat menahan kesedihan di atas pemergian Cikgu Junaidah berikutan kemalangan kelmarin.

Tumpah juga airmata saya sebaik saja saya melihat wajah arwah. Sungguh, guru-guru MMP sangat saya kasihi. Mereka memberi ilmu tanpa belah bahagi. Tanpa mereka siapalah saya sekarang ini.

Al Fatihah cikgu. Semoga roh cikgu ditempatkan di kalangan orang-orang yang solehah. Aameen.

Berita lanjut di:

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Matitersepitdepan4anak/Article/index_html

Saturday, June 18, 2011

Di Pejabat

Bosan sungguh la hari ni. 

Sebab apa?

Sebabnya saya kena kerja! Memang nak feeling feeling rehat tidak ada. huhuhu...Cuma yang baiknya sebab saya boleh replace cuti. hehehehe....

Sebenarnya orang lain dah ada yang balik. Saya je rajin terlebih duduk sini lama-lama..Sebab internet laju!hahahaha~

Thursday, June 16, 2011

Saya Dapat Rasa Apa Yang Dia Rasa

Saya masih berada di pejabat ketika entri ini ditaip. Hari ni bermulanya Final Examination February 2011 untuk Short Course. Biasanya saya tak bergerak, duduk di kerusi sambil mengadap komputer untuk menyelesaikan segala tugas. Tetapi hari ini, bermula daripada pagi sampai petang saya bersenam. Bersenam salam aircond. Kira  bersenam juga la ye?hehehe..

Namun begitu, saya tidak mahu bercerita mengenai peperiksaan atau pelajar di MEDIU ini. Mahu update berkenaan hal semalam. Ada kaitan dengan INI.

He's alone
Itulah adik bongsu saya. Farid Hafizin. Sekarang dia berumur 9 tahun. Saya ni merupakan seorang kakak yang mempunyai 6 orang adik. Saya yang kedua. Yang sulung kakak.

Dia sudah mula menipu lagi. Kenapa? Dia perlukan perhatian. Dia sedang keseorangan sekarang. Saya dapat tahu hal ni pun daripada pengetua sekolah dia. Masa mula-mula saya habis belajar tahun lepas, hanya saya, dia dan ma abah yang ada di rumah. Kebetulan saya kerja di sekolah dia, jadi perhatian pada dia boleh dikatakan agak penuh. Lagipun, kami sangat rapat kerana sejak dia berumur 3 bulan ke atas, saya lah yang banyak jaga dia, basuh kencing berak, dia sakit saya yang jaga. Cuma akhir-akhir ni saya dah lama tak bertanyakan khabar dia sebab saya sibuk. Teruk betul saya ni. huhuhu...

Adik-adik saya yang lain ada juga di rumah sekarang. Yang keempat pun dah mula bekerja. Sama juga adik saya yang keenam. Balik kerja pun mesti dia orang dah penat. Mungkin Farid dah rasa dia tak ada kawan. Masa yang dihabiskan bersama dia sudah kurang atau mungkin juga tidak ada langsung. Ma abah juga sibuk.

Bila saya dapat tahu dia jadi begitu, saya pun turut sedih. Rasa nak menitis airmata. Dah la kat pejabat semalam. Agak bercelaru juga bila fikirkan pasal dia. Jadi saya bercadang untuk pulang ke kampung jenguk dia awal bulan depan. InsyaAllah.

Saya tak mahu dia jadi macam saya. Simpan segala-galanya dalam hati. Saya mahu dia membesar dengan kehidupan yang sentiasa berfikiran positif, yakin dengan apa yang dia buat dan berani.

Bukan macam saya bila dah dewasa baru nak mula membina apa yang sudah tertinggal pada masa dulu.

Monday, June 13, 2011

SB Gathering- Times Square (12 Jun 2011)

Uzair..Akak amik gambar tau. hehehe...

Bismillahirrahmanirrahim...

Orang lain dari semalam lagi update mengenai gathering semalam, saya baru nak mencatat di sini. Saya bukan tak ingat tapi sangat penat. huhuhu. Ni pun update time lunch hour. Kebetulan saya berpuasa hari ni. Bukan saya saja yang penat. Ate ada lagi yang lebih penat daripada saya. Kesian BELIAU tahu? Meh kita bagi semangat kat dia meh.:) 

Gathering semalam memang buang banyak toksid2 stress dalam kepala saya nih. Sebab asyik sengih dan ketawa manjang je tengok gelagat korang!hehehe...Maaf ye kalau ada yang saya tak tertegur. Ramai sangat. Malu pun ada. huahuahua...

Oh ha, saya tak main bowling pun. Jeling-jeling dan pandang-pandang je korang main bowling. Saya banyak borak dengan Datin Tyka. Memang sesuai betul dia guna nama tu. Adventure betul cerita-cerita dia. hehehe...Saya kalau boleh nak sebut satu-satu nama yang datang semalam tapi tak semua yang saya ingat. Antara yang datang semalam (link copy terus dari document SB). Mari kita lihat apakah luahan-luahan mereka. hehehe...JANGAN MARAH. KORANG KAN BAIK?KAN KAN??:-

1. Lyla Ibrahim --> http://rockprincessbooks.blogspot.com/ --> sapa yg tak ingat tadi, sekarang ni tenung link ni betul2 ek..heh
2.http://fierapirot.blogspot.com/
3.http://ribenputih.blogspot.com/
4.http://amiraazereen.blogspot.com/ 

5.http://myungdae92.blogspot.com/ --> Ni yang hensem2 tu tau. lalalalalalala
6.http://kucinganstudio.blogspot.com/ --> orang ke 3 terawal datang dengan aina aimi dan bintang
penyembuh: http://bintangpenyembuh.blogspot.com/ ... keep in touch selalu... :) tu.
7.http://taufiqhelios.blogspot.com/ --> yang paling hensem tuh ok! paling hensem antara yang hensem
8.http://www.tengkunizam.com/ --> bodyguard korang ni , admin cepat bayar gaji aku! haha
9.http://zihnunfatin.blogspot.com/ ---->ehem ehem....
10. http://www.umarfaruq.com/ -----> confirm takde org kenal aku.. sob3..
11. http://yanananako.blogspot.com/ ---> tak tau nak tulis pa.. haha XD
12.http://mahirahazemi96.blogspot.com/ ---> ni yang cun2 tu pakai baju purple hehe13.http://farierahasanzstory.blogspot.com/ ---> yang disamakan dengan TOMYAM.!!! i sentap tau . . sob . . sob . ='(
13.http://crazreeme.blogspot.com/ ---->aisis newbie :D
14.http://mawarkuwada.blogspot.com/ ;) syum jeeeee. kurg diknli kooot;p
15.http://www.kayif.com/ hidup terlalu singkat untuk bersedih !! Happy macam aku =D
16.http://www.thegarang.com/
17.http://www.ddfabulous.com/
18.http://examsed.blogspot.com/
19.http://www.akmalhilmi.com/
20.http://mrsgforgg.blogspot.com/
21.http://thesyafiqmokhtar.blogspot.com/ ---> yang umo 20 tu..
22. http://uzairkate.blogspot.com/ ---> yang hutang korang gambar gathering. esok ye. lalala.
23. www.wakakap.tk
24. http://nasiputehsupayam.blogspot.com/ ..


Yang lain ada lagi tak letak link kat situ. Siapa belum letak, cepat-cepat letak k!

Oh ye, ada orang lupa siapakah blogger paling sopan semalam. Saya pun lupa juga. Siapa ya?:p


Sebagai penutup entri hari ni, saya nak ucap terima kasih banyak2 pada admin yang bertungkus lumus menjayakan sesi perayaan turun temurun kita nih. Apa pun halangan yang berlaku semalam, anggaplah ia sebagai ujian. Keyrull kata kena positif, sabar. Dengar tuh. Dan juga pada korang semua yang baru sangat saya kenal tapi korang memang best!Serius!

Ada blogger kiut
Ada blogger hensem
Ada blogger cantik
Ada blogger kecoh
Ada blogger pemalu
Ada blogger seksi. Erkk??
Ada blogger sporting
Macam-macam ada
Tapi...
Kita semua SATU
Bersatu dalam dunia blogger
Moga berkekalan ukhuwwah yang terbina
Dan sentiasa kukuh
InsyaAllah!

*******

NOTA KAKI BESAR BESAR:

Yang pergi gathering semalam, letak link korang kat SINI k? pleaseee...

Saturday, June 11, 2011

Create Your Wonderful Life!You Are Not Alone!

Hidup memang tidak akan pernah sempurna. Setiap manusia juga tidak sempurna. Perangai setiap orang juga tidak sempurna. Sesekali ada keinginan untuk puaskan hati semua pihak. Namun sebenarnya kita tidak akan dapat puaskan hati mereka dengan sempurna walaupun perkataan puas hati itu ada.

Persepsi setiap individu berbeza-beza. Tambahan lagi pengaruh persekitaran, rakan-rakan sekumpulan dan sekepala buat seseorang itu jadi begitu. Lalu pihak sebelah lagi terasa dipulau dan dipinggarkan. 

Keadaan begitu amat merimaskan tetapi kadangkala menyeronokkan bila minda kita menganggap hal itu bukanlah sesuatu yang menyakitkan jiwa.

Duhai sekeping hati berwarna merah, cuba lah terima itulah kehidupanmu sekarang. Tiada lagi bunyi riuh mesra suara Nurli, tiada lagi ucapan manja Faiqah, tiada lagi kehidupan bertiga seperti tiga bulan lalu. Tiada lagi gurauan sayang mereka berdua ketika ke Mydin, ketika ke Teluk Cempedak, ketika ke East Cost Mall. Itu kenangan indahmu. Kenangan bersama gerangan yang bernama sahabat.

Kau berada di petak bumi yang berbeza sekarang. Ciptalah cerita cantik dan menarik untuk kau simpan. Mungkin rakamannya boleh dicerita buat keturunan-keturunanmu pada masa akan datang?eheh.


Who Says? 
Of course you can do it!

Thursday, June 9, 2011

Beberapa Situasi Yang Membuatkan Senyuman Terukir


Dalam kesibukan bekerja, dalam keadaan minda mula terhuyung hayang dek pegawai-pegawai atasan yang sangat berkaliber memberi arahan tanpa memikirkan kesan-kesan yang bakal timbul, sebenarnya kita masih ada lagi masa untuk mengukir senyuman dan bergelak ketawa walaupun hanya kita seorang sahaja yang berbuat begitu.

Senyum itu kan satu sedekah. Setuju?

Ada TIGA sebab atau situasi yang membuatkan saya tersenyum walaupun hari ini synaps saya bergerak ke hulu ke hilir dengan pantas iaitu:

1) Officemate saya akan berangkat ke tanah suci Mekah esok untuk menunaikan umrah bersama kedua ibu bapanya. Saya tumpang gembira buat dia kerana ini kali kedua dia dipilih Allah menjejakkan kaki ke sana. Beruntungnya dia!Lagi saya gembira sebab saya ada mengirim senarai doa saya pada dia. Emm doa apa ya?hehehehe...Yang penting semuanya sangat penting!^____^

2) Yao Lin. Student staff yang berbangsa Cina. Nama islamnya Aisyah. Dia boleh bertutur dalam Bahasa Melayu cuma bunyinya sangat pelat. Bila dia bercerita, saya selalu gelakkan dia. Jahat betul saya. hehehe...Bukan apa, itu yang merapatkan hubungan kami. Cara dia berceloteh hari ini membuatkan saya terlontarkan perkataan "loyar buruk". Dia terpinga-pinga. "Buruk" disangkanya "burung" sambil mengibas-ngibaskan kedua2 tangannya. Terpaksa la saya betulkan sebutan dia dan terangkan "loyar" tu. Memang kena sabar betul terangkan perkataan lain lagi untuk memahamkan dia seperti "kelakar","lucu" dan "menggelikan hati". At least dia belajar perkataan baru. Saya juga belajar bahasa mandarin daripada dia. Yao Lin ni memang selalu hilangkan stress saya. Sunyi kalau dia tidak ada. hehehehe...

3) Restoran Cili Merah. Kedai makan yang wajib saya singgah selepas saja habis waktu bekerja. Saya selalu duduk di meja yang berhadapan dengan tv. Kebetulan waktu tu, ada sepasang suami isteri yang sudah berumur duduk sebelah meja saya. Umur pakcik dan makcik tu mungkin dalam 60 an macam itu la. Ketika mata saya asyik tertancap pada kaca tv, tiba-tiba makcik tu bersuara dan bertanya pada saya, 

"Mu ore mano?"

Saya senyum dalam agak terkesima dan menjawab,

"Ore kelate!"

Kemudian, makcik itu ketawa seakan-akan anak kecil sambil menghabiskan laksa pinang dalam mangkuk. Pakcik itu turut tersenyum pada saya.

Tidak lama selepas itu, nasi ayam saya sampai. Baru sahaja saya ingin menyuap nasi ayam dalam mulut, pasangan emas itu bangun dari kerusi tanda mereka sudah selesai makan. Pakcik itu datang ke arah saya dan berkata,

"Dia ada penyakit lupa"

Baru saya tahu. Tapi saya senyum saja. Faham akan keadaan makcik tu. Tiba-tiba makcik tu datang lagi dan bertanyakan soalan yang sama pada saya dan saya juga menjawab dengan jawapan yang sama sambil melebarkan lagi senyuman saya pada makcik. Dia mengangkat tangan seolah-olah mahu menari gayanya dan terlompat-lompat kecil di situ.

Alangkah sabar dan mulia sungguh hati suaminya. Hati saya rasa sayu. Teringat pada arwah nenek.

Nah, sekarang saya mahu bertanya pada kau orang pula. Situasi apa hari ini yang buatkan kau orang tersenyum dalam kepenatan belajar atau bekerja?

Info buat kita semua tentang penyakit lupa:


Yang pelik pun ada..klik SINI...

Wednesday, June 1, 2011

LULUS LULUS!Alhamdulillah...

GEMBIRA. SYUKUR.

Saya lulus test JPJ tadi. First attempt. Awal-awal lagi saya tanamkan dalam hati saya mesti lulus. Sebab.....lesen L saya dalam keadaan kritikal, bakal meninggal pada 7 Jun ni. Kalau lah saya tak lulus test tadi, memang hangus macam tu je duit. huhuhuhu...

Memang nasib saya baik sangat tadi dapat pegawai JPJ yang baik. Terima kasih encik!Terima kasih cikgu!Yang kelakarnya, lepas habis test dalam litar, saya pergi turunkan tandatangan dekat pondok di mana salah seorang pegawai JPJ duduk, dia mintak panadol dengan saya. hahaha...Kebetulan pula saya ni jenis bawa bekalan ubat ke mana sahaja saya pergi. Katanya sakit kepala. Mungkin sebab waktu pun dah tengahari tadi, matahari terik memancar.

Gementar macam apa tadi. Baca doa pun terkumat-kamit. Lepas saja dapat turun bukit, saya terus buat parking.  Lega memang takleh nak cakap la. Lega sangat-sangat. Dah la belajar kereta pun secara ekspress, seminggu lebih je, mana la saya tak takut test JPJ.

Allah permudahkan urusan saya hari ini. Ramai yang mendoakan saya. Head department saya siap call lagi bagi sokongan moral. Syukur sangat!

Perancangan lepas ni nak beli kereta la pula. Perlu. Saya nak gunakan kereta untuk berulang alik sambung master nanti. Lepas sahaja selesai hantar borang permohonan master, saya nak beli kereta. InsyaAllah! Banyak betul saya merancang. Kalau saya tak kahwin-kahwin lagi tahun ni atau tahun depan, saya nak kumpul duit untuk buat umrah. Doakan saya lagi agar dipermudahkan segala perancangan. Aameen!!

Esok kerja balik. Ada berita gempar terbaru lagi dari pejabat. Ujian ujian.

Thursday, May 19, 2011

Perasaan Bagaimana

Motif apa letak gambar kakak kawin?hehehehe..Kakak saya dah pregnant sekarang. Akhirnya saya dapat juga anak saudara!:)

Antara rasa gembira dan takut. Semuanya bercampur baur. Gembira kerana saya merasai sekelumit bahagia. Takut memikirkan apa yang bakal berlaku dan akan saya tempuh lepas ini.

Hari-hari saya hanya mampu berdoa agar hati-hati yang keras bisa lembut. Lagi lembut dari tofu. hehe...Hari-hari saya berdoa agar dipermudahkan jalan-jalan yang bakal saya susuri lepas ini. Saya rasa kali ini saya tidak mengikut perasaan semata-mata.

Ya Allah, saya pun sudah tak tahu nak tafsirkan bagaimana rasa saya tika ini. Mohon semuanya berjalan lancar. Doakan saya ye!

"Pahit, manis, suka dan duka. Itulah rencah kehidupan."