Friday, July 17, 2009

Home » » Surat Ungu Untuk Nuha-Puisi 2

Surat Ungu Untuk Nuha-Puisi 2

Sayap Cinta


malam tatkala terpandang bulan

hati berdebar

jantung bergetar

mendengar

tatkala bulan ucap kopratasa

pada kelam malam

pada bintang-bintang

lalu

mataku lah yang basah dahulu

jendela hati diketuk lagi

ku buka separuh-separuh

separuh hati

“selamat malam, nama saya

Cinta…”

hangat dan dingin

merantai di luar

“izinkan saya berteduh di tepi

jendela mu?”

Cinta terus bertanya

lalu hati ku tertanya-tanya:

“Cinta, kenapa mesti aku?”


Untuk Dia


rindu itu rupanya tuba yang mengalir

bersama derasnya merah darah…

menyakitkan meresahkan

melemaskan memilukan

bagaikan waktu yang bergetar

tanpa pernah diam

lalu begitukah rindu ini terus berlari

tanpa pernah henti…

duhai kekasih,

“sampai bilakah

rindu ini akan segera usai?”

*****************************************************

Ku kikis sisa wajah dia

yang melekat di jantung

ku cuba siram benih kasih mu

yang menyapa di hati

tetapi seperti padi-padi itu

aku tidak pernah tahu

bila rasa sayang itu kan bercambah

jika aku tidak pernah menyemai

dan k au tidak pernah membajainya?

pulanglah…

kalau kau rasakan cinta itu ada saktinya


Kerudung Ungu Buat Raja Kamariah


Bagaikan deru bayu yang menyongsong

desa

setiap kali musim timur tiba

begitulah,

butir kata-kata mu

telah membungkus hati ku dalam pilu

sejuk beku di sini

Pada saat,

gerimis menitik

renjisan renyai malam yang tak pernah

berhenti

tiba-tiba

aku jadi rindu padamu

untuk sekian kalinya

Pada saat,

daun-daun yang berbisik

gemeresik sayu dinihari itu tanpa jemu

tiba-tiba

aku jadi rindu pada musim semi kita

untuk sekali lagi

Hujan menjerat angin

dan matahari pun berselisih dengan

bulan

lalu aku cuba memahat kelam malam

dengan renungan ku yang telah hilang

lalu aku cuba mengukir cerah siang

dengan angan-angan yang tersangkut di

dada

Aku sudah tidak tahu

bagaimana kau ukirkan purnama

dengan pensel perakmu

setiap kali bulan tersenyum?

Mana cermin untuk aku bias

melihat kau yang manis itu dengan

kerudung ungu

untuk terakhir kalinya?

Aku masih teringat lagi kata hati ku

suatu waktu itu:

“Yah, aku tenun kerudung ungu….

pakailah pabila kau mengiringi aku ke

pelabuhan nanti.”

Pernah sekali aku berkata suatu waktu

dahulu:

“Bonda, sandingkan pelaut dengan

puteri raja yang berkerudung ungu itu…

aku ingin berbahagia dengannya, untuk

selamanya.”

Bonda tidak pernah menyahut…

sudah lama aku tidak melihat rembesan

air mata di wajah bonda


Terima Kasih


(untuk yang telah sudi menjadi pantai lautku)

aku lautan luas

engkau pantai sempadan penggaris daerahku

memagar aku dalam ruang lingkup hayat ku

setia tabah adalah milik mu

jadi hadiah setiap kehadiran ku

jadi perisai setiap ketiadaan ku

ingin memetik kejora tujuh warna

jadi hantaran ku semat ke dada mu

tapi aku terpenjara dalam bentuk ku

lalu karangan isi ku sebagai pengganti

maafkan aku pantai

kerana tengkujuh adalah sebahagian

daripada aku

tidak bertimbang rasa

tidak pernah adil

(aku keindahan yang membunuh peraih rezeki

menggantung harap pada ku)

menghempas melukai pesisiran perasaan mu

menghakis mengubah bentuk jadi mu

aku pecah terluka setiap kali melukakan mu

terima kasih pantai

kerana memahami laut

kerana setia di sisi

izinkan laut selalu di sisimu….

muzzammil muadz:

dari Kota Kuala Muda- Hobart- Kota Kuala Muda

hanya Nuha bertakhta di hati ini

No comments: