Sunday, April 25, 2010

Home » , » Aura Kanak-Kanak

Aura Kanak-Kanak


Kanak-kanak punya auranya tersendiri. Percaya atau tidak, nakal macam mana sekalipun mereka, pasti bisa mencuit dan menghiburkan hati kita. Kadang-kadang bila marah timbul, tidak jadi untuk memarahi bila melihatkan senyuman dan ejekan mereka. Aduh!. Kenapa? Apa? Bagaimana?..Inilah yang mereka akan persoalkan bila berhadapan dengan orang dewasa.

Mereka petah berkata-kata. Ligat bercerita itu ini. Kejamlah sesiapa yang memperlakukan kanak-kanak seperti sampah. Menganggap mereka seperti mainan. Mereka ibarat kain putih, ibu bapa lah yang mencorakkannya untuk jadi insan yang berilmu dan berakhlak mulia.

Pagi-pagi lagi apabila aku sampai di pejabat, pelajar-pelajar cilik pasti ada mengerumuni, meminta daripadaku untuk menyalami. Indahnya sikap mereka. Moga tarbiyyah daripada guru-guru terpahat kukuh dalam jiwa mereka.

Petang sebelum pulang, beberapa si comel menyalami, memeluk dan mencium pipiku. Kami bergurau senda, menggeletek sesama sendiri. Terasa hilang sedikit beban di kepala, walaupun masih ada lagi kerja yang belum sempat disiapkan hari ini. Mereka perlukan perhatian dan kasih sayang. Kerana itulah mereka bersikap sedemikian. Aku rasa senang. Mungkin juga disebabkan aku memang sukakan kanak-kanak. Bagi aku mereka semua comel belaka!

Rasa tidak sabar pula menunggu hari esok untuk melihat wajah-wajah mereka yang suci dan ceria!

No comments: