Bismillahirrahmanirrahim
![]() |
| Dari Google..Keluarga Sakinah Ibu dan Ayah harapkan |
Seringkali kita akan menyalahkan ibu bapa apabila anak-anak berkelakuan tidak selari dengan didikan agama yang telah mereka curahkan buat anak-anak.
Sekujur tubuh ayah sedia berbakti usaha dan tenaga menyebarkan agama dan berdakwah demi nama Allah dan Rasul. Mengajak manusia ke arah kebaikan dan berusaha mencegah kemungkaran di luar rumah. Didikan ruhi dan jasmani tidak pernah diabaikan terhadap anak-anak dan isteri.
Ketegasan si ayah terhadap anak-anak merangkumi kedisiplinan dan ketaatan melalui akidah, akhlak, tauhid dan lain- lain. Menyeru anak-anaknya supaya tidak melengah-lengahkan solat, berpuasa, mangajar anaknya supaya menjadi hamba yang bersyukur. Tinggi harapan ayahanda dan bonda pada anak-anaknya agar menjadi manusia yang berguna.
Namun, harapan tinggal harapan. Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Ada daripada anak-anaknya yang tidak berlaku dan menjadi sejajar apa yang diharapkan oleh kedua orang tuanya. Kecewa menjalar dalam diri mereka. Ya, tiada manusia yang tidak akan kecewa. Begitulah juga yang dirasai oleh jiwa insan tua bernama Ibu dan Ayah.
Kecewa dengan harapan. Kecewa dengan acuan. Soalan demi soalan menerjah dalam ruang minda mereka.
Apakah silapku?
Apa tidak cukupkah keperluan rohani dan jasmani yang daku beri?
Apa yang perlu aku lakukan lagi?
Tidak. Si Ibu dan Ayah tidak bersalah jika mereka sudah menunaikan amanah yang sepatutnya. Keperluan asas seperti makan, minum, tempat tinggal, pendidikan, kewangan dan juga keperluan agama seperti mengajar si anak kalimah shahadah, bersolat, berpuasa dan sebagainya telah ditunaikan oleh Ibu dan Ayah secara berterusan sehingga ke hujung nyawa mereka.
Nah, mengapa masih mahu menuding jari pada Ibu dan Ayah sesiapa jika mereka sudah laksanakan tanggungjawab mereka yang sebenar-benarnya?
Iman tidak akan dapat diwarisi. Ini ujian dan dugaan buat Ibu dan Ayah, ujian kasih sayang buat mereka.
Sedangkan Nabi Nuh diuji dengan keingkaran puteranya terhadap agama Allah walhal Nabi Nuh sendiri berusaha berdakwah menyampaikan risalah Allah, mengajak kaum dan keluarganya supaya meninggalkan penyembahan berhala. Tugasnya sebagai Nabi dan Rasul sudah dilaksanakan, hanya puteranya sahaja menolak keras ajaran Islam yang dibawa Nabi Nuh.
Bersabarlah wahai Ibu dan Ayah di luar sana jika anak-anak tidak terbentuk sepertimana yang dirimu harapkan. Teruskan usaha dan doa yang tidak putus-putus buat anak-anakmu.
Juga buat insan-insan lain yang tidak mengerti bagaimana perjalanan hidup orang lain, jangan mudah menghakimi sikap buruk anak-anak mereka dengan mengatakan punca asal adalah daripada Ibu dan Ayah mereka. Selidik dahulu sebelum menghakimi.
Setitip rasa : Hati aku memang panas bila orang lain memburuk-burukkan kedua ibu bapaku jika tidak benar apa yang disebut-sebut. Sabar.

No comments:
Post a Comment