Tanah masih lagi merah. Tanah tempat dirimu bersemadi. Kala ini, airmataku masih tidak tertahan-tahan merindui diri mu. Masih segar perbualan kita. Masih ranum kenangan-kenangan denganmu.
Hadirmu tak terduga. Pergi mu tak ku jangka. Saat mendapat khabar bahawa dirimu 'pergi jauh', aku terkedu. Sudah tersurat hari jumaat, hari ku menatap wajahmu buat kali terakhir.
Dalam hujan dingin, hembusan angin bisu, di hari jumaat penuh barokah. Kau temanku, pergi menyahut seruan Ilahi.
Sesampainya aku, tapakku berlari laju demi mahu melihatmu diusung sepi ke dalam ambulans. Itulah dirimu. Tidur kaku membisu. Ku lihat wajah seorang ayah menahan sebak di atas pemergianmu.
Kelmarin, ku biarkan diriku melihat kamarmu, baju-bajumu bergantungan rapi dalam gobok usang. Meja ulangkajimu ku tatap. Buku-buku agama, ma'thurat yang menjadi amalanmu setiap pagi, komputer riba yang memberi jasa tak terhingga demi menyiapkan kajianmu.
Di situ, aku melihat bayanganmu.
Kelmarin, julung kalinya aku menunaikan solat jenazah, mengucup dahi suci seorang teman, sahabat dan adik yang baik. Dan terakhir kalinya aku melepas pandangan melihat jasadmu dibawa pergi oleh pacuan empat roda jenazah. Sayu dan pilu. Di sisi perbaringanmu, ku lihat ibumu amat sedih dengan pemergianmu. Aku makin jadi tak tentu.
Bersemadilah temanku dengan aman. Pemergianmu memberi seribu hikmah dan pengajaran.
Ku kirim Al-Fatihah buatmu.
Dalam sendu aku rindu dirimu Siti Khatijah.
Ku kucup sepi dahimu
Dingin damai sebujur tubuh kaku
Ku lihat derita hati seorang ibu
Menahan ratap saat melepas dirimu
Rintis hujan pilu
Turut merasai kehilanganmu
Adikku.
Masih terasa hilai tawamu
Masih terlayar manis senyumanmu
Sesungguhnya detik waktu
Tidak mampu merungkai rindu
Adikku.
Tenang lah dirimu mengadap Allah Yang Satu.
Kerana Dia lebih menyayangimu.
No comments:
Post a Comment