Wednesday, July 10, 2013

Home » » Shahr Ramadan | Apakah Maksud Bulan Ramadan?

Shahr Ramadan | Apakah Maksud Bulan Ramadan?


Masih ada lebih kurang sejam lagi tibanya waktu berbuka ketika jari jemari saya menekan-nekan papan kekunci komputer riba saat ini.

Sejak dari kelmarin dinding-dinding muka buku penuh dengan status, mesej-mesej dari telefon bimbit dan tidak kurang juga ucapan-ucapan dari bibir teman kita mengucapkan selamat berpuasa, salam ramadan, selamat berterawih dan sebagainya.

Saya juga mahu menitipkan sesuatu, biarpun hanya saya sendiri yang meneliti kembali nukilan saya sendiri berkali-kali.

Bila mulanya bulan puasa, waktu kerja dan waktu belajar juga sedikit berubah. Memandangkan saya sudah kembali bekerja sekarang, waktu kerja saya pada bulan mulia ini mula pada pukul 8.15 pagi sehingga 4.30 petang. Manakala waktu mengajar mula setengah jam awal daripada waktu biasa. Misalan, andaikata kelas mengajar asalnya mula pada pukul 9 pagi, maka ianya diawalkan ke 8.30 pagi.

Alhamdulillah kelas hari ini tidak padat. Saya hanya perlu mengajar satu kelas sahaja untuk Bahasa Arab Tahap 2. Jadi masa terluang sangat banyak untuk saya isikan dengan aktiviti berfaedah. Memandangkan kelas hari ini mula pada pukul 10.30, jadi sebaik saja sampai di jabatan, saya cuba menyiapkan kerja yang telah diamanahkan oleh seseorang untuk diselesaikan sebelum 14 Julai ini.

1 Ramadan membuahkan sedikit kebisuan dalam jabatan saya. Tidak seperti selalu. Saya rasa agak damai sebegini. Dan mungkin ini juga lah hikmahnya bulan Ramadan. Jika jiwa kita benar-benar berpuasa, maka anggota-anggota badan lain akan terhindar daripada melakukan perkara yang tidak baik. Umpatan kurang, muzik-muzik melalaikan juga sukar memakan halwa telinga.

Kesejukan aircond pagi ini terasa agak luar biasa. Saya membaluti badan dengan mafla biru tua, pemberian Kak Shu ketika saya bekerja di Shah Alam dua tahun lepas. Seperti biasa, kami dikejutkan (adakalanya) dengan kehadiran teman sekerja yang kerapkali datang lambat ke tempat kerja. Namun begitu, dia disenangi di kalangan teman-teman saya kira mengikut pemerhatian saya.

Dalam jabatan kami, hanya saya, dia dan seorang lagi ustaz yang diamanahkan untuk mengajar maddah Bahasa Arab. Meja kami bertiga saling bersebelahan dan berada di jaluran yang sama.

Kami berbual ringan mengenai kamus Bahasa Arab dan peperiksaan menyeluruh (Imtihan Syamil) yang dia bakal duduki tidak lama lagi untuk pengajiannya dalam Sarjana Bahasa Arab di UIA. Tetapi, kemunculan dua orang pelajar mematikan seketika perbualan ringkas di antara kami berdua. 

Saya menyambung lagi kerja-kerja saya. Mengerah idea dan menaipnya ke dalam Microsoft Word.

Selepas saja kedua pelajar itu beredar, dia melontarkan satu soalan pada saya.

"Apakah makna bulan ramadan?"

Dia menunggu jawapan saya sambil tersenyum.

"Bulan puasa," saya menjawab dengan niat bergurau walaupun saya tahu ada maksud lain yang dia mahu sampaikan.

"Sebenarnya ramadan ialah bulan ibadah. Bulan yang istimewa daripada bulan-bulan lain. Pada bulan inilah kita akan buat apa yang kita tidak pernah buat. Jadi lebih baik daripada sebelumnya."

Saya merasa lega. Kerana bukan saya yang perlu menjawab dengan lebih lanjut dan saya memang tidak terlintas untuk memberi penerangan sepertinya. Masih sedikit lagi ilmu saya berbanding dia.

Dia menyambung lagi...

"Oleh sebab itulah kita jangan memperlekeh sesiapa saja yang mahu berbuat baik di bulan ramadan, sedangkan sebelum itu dia tidak pernah membuat sesuatu yang lebih baik untuk diri dan agama."

"Sebagai contohnya, jika dahulu dia tidak pernah solat berjemaah dan pada bulan ini dia mahu mulakan solat berjemaah di masjid, jangan lah kita berkata :" Oh, dulu tak buat, sekarang baru nak buat?"."

Reaksi yang mampu saya lakukan hanyalah mengangguk-angguk tanda bersetuju dengan apa yang dia sampaikan. Ya, memang betul katanya.

Apa yang saya dapat simpulkan di sini, bersangka baik lah kita pada orang lain serta jangan mudah menghukum pada setiap kelakuan orang lain yang kita tidak tahu pucuk pangkalnya.

Mari bersihkan hati kita.

*******

Saya seorang yang tidak pandai menyusun kata untuk berkongsi nasihat dan tazkirah. Kerana itu, saya merasa rendah diri bila dipanggil ustazah oleh anak-anak murid. Adakalanya saya cuba menasihati mereka dengan cara saya tersendiri yang saya tidak tahu adakah ianya memberi kesan atau tidak kepada hati mereka.

Masih jauh lagi diri ini memberi manfaat kepada ummah. Masih tidak layak diri ini digelar seorang ustazah. Saya hanya seorang guru Bahasa Arab. Namun begitu, saya tetap akan cuba menambah ilmu sebaik mungkin. Insyaallah.

Selamat Berbuka pada seluruh umat Islam di Malaysia. Sambil menunggu waktu berbuka, marilah kita sama-sama berdoa untuk saudara kita di Syria dan Mesir agar semuanya reda sebelum perginya Ramadan tahun ini. Allah...

No comments: