Monday, August 5, 2013

Home » » Pelit | Jodoh Yang Tidak Kunjung Tiba

Pelit | Jodoh Yang Tidak Kunjung Tiba

Perhatian : Jangan lelehkan air liur anda.

Ramadan kali ini tidak banyak yang saya dapat nukilkan buat diri sendiri di sini. Tidak seperti tahun lalu. Mungkin tahun ini tahun yang berbeza plot hidupnya. Bila direnung, tahun-tahun lalu agak sama latar kehidupan saya. Kenapa tahun ini berbeza? Mungkin di lain entri saya akan nukilkan. Bagi saya ia sangat manis dan berharga buat julung kalinya dalam hidup saya.

Saya pulang ke kampung agak awal daripada biasa untuk mengelakkan dari kesesakan jalan raya. Kesesakan sudah jadi kebiasaan apabila tibanya musim raya. 

Saya sudah berada di kampung selama empat hari. Bertolak dari UIAM, hari khamis kira-kira dalam pukul 5.30 petang usai pulang dari kerja. Saya hanya ditemani Cah, sahabat baik saya. Kepulangan saya tidak dikhabarkan pada Ma dan Abah saya. Mahu buat kejutan kononnya. 

Kami tiba di rumah Cah sekitar 1.30 pagi pada hari Jumaat. Kerana kepenatan yang amat, saya menumpang tidur di rumah Cah selama dua hari satu malam. 

Keesokan harinya kami ke Machang untuk menyampaikan kad nikah kakak Cah kepada cikgu-cikgunya. Sebelah petangnya saya pulang ke rumah dengan berbalut kerinduan.

Kali ini, Cah pula berbuka puasa di rumah saya. Adik beradik saya masih ada yang belum pulang ke kampung lagi. Yang ada adik-adik perempuan saya dan juga adik bongsu lelaki. Lauk berbuka biasa-biasa saja. Namun ia jadi luarbiasa bila bersama dengan keluarga. Seleranya jadi lain. Adik saya juga menukar cermin mata, sama stail seperti saya juga. Kami tertawa.

Hajat hati mahu menghantar Cah pulang selepas solat maghrib, namun Ma memesan supaya memberitahu Abah dahulu. Tepat seperti apa yang diperkatakan Ma, Abah memang tidak membenarkan anak daranya keluar malam seorang diri memandu. Jadi, kami menunggunya selepas habis terawih di rumah kerana Abah berada di masjid yang mana saya tidak pasti, berbuka di sana.

Selepas terawih, gegendang telinga saya jelas menangkap bunyi geseran pintu pagar rumah dibuka dan deruan enjin kereta Unser. Tahu lah saya Abah sudah pulang. 

Tanpa membazir waktu, saya, Cah dan adik bongsu saya, Farid bersama-sama pergi menghantar Cah pulang ke rumahnya di Rantau Panjang. Pulang saja kami dari Rantau Panjang, saya berbual-bual ringan dengan Abah mengenai Cah.

"Cah tu baik budaknya Abah. Kalau lah adik lelaki orang setanding dia, teringin juga mahu propose."

"Itu lah..tapi nak buat macam mana..", Abah mengiakan kata-kata saya.

Topik mengenai Cah tamat bila Abah menyebut tentang colek perut. Saya tidak tahu bagaimana mahu namakan colek perut dalam Bahasa Melayu sebagai apa. Yang saya tahu, perut tu adalah bahagian dalam lembu seperti peparu dan perut. Ditambah lagi dengan taugeh, timun cincang, keropok hancur dan popia rangup yang dipotong-potong kecil. Akhirnya dituang dengan sos lazat buatan Kak Jah, jiran saya. Warung dia memang terkenal dan laku dengan colek perut bila musim Ramadan.

"Abah teringin nak makan colek perut. Tini mahu? Sekejap Abah call anak Kak Jah".

Saya hanya tersenyum mendengar perbualan Abah dengan anak Kak Jah sambil membayangkan keenakan colek perut. Sudah lama saya tidak menjamahnya. Anak Kak Jah memang selalu ada di warung itu. Anaknya juga sudah memanggil Abah dengan panggilan Abah juga. Mungkin juga disebabkan Abah saya adakalanya menghulur bantuan sedikit kepada keluarga mereka walaupun tidak banyak. 

Abah memesan dua pinggan colek perut dan sepinggan colek buah untuk dia dan saya.

Kami meredah lagi kegelapan malam. Jalan Rantau Panjang agak gelap. Tapi saya tidak risau kerana Abah memang seorang pemandu yang cekap. Kami senyap seketika sehinggalah Abah bertanya mengenai pengajian sarjana saya, biasiswa dan juga kerja.

"Kau kerja banyak tu je la gaji? Biasiswa bagaimana?"

"Iya, banyak tu la. Biasiswa belum mohon lagi, sekarang guna duit MARA. Banyak proses untuk mohon biasiswa, ada interview dan sebagainya Abah".

"Tak apa lah, lepas dapat kerja di mana-mana lagi lepas ni, cari lah calon yang sama tempat".

Saya tersentak sedikit bila Abah menyebut mengenai teman hidup.

"Bukan senang Abah mahu cari sekarang. Tidak banyak pilihan. Rata-rata pelajar sarjana sudah berkahwin dan mempunyai anak, bahkan dua orang isteri lagi. Kalau ada pun, yang muda-muda daripada orang ni."

Abah diam. Mungkin ada sesalan di hatinya menolak calon-calon yang saya kemukakan dahulu. Dua kali mencuba, dua kali juga ditolak. Atau mungkin juga dia merancang sesuatu untuk saya. Isi hati hanya Allah yang tahu.

Kami teruskan perjalanan sehinggalah sampai di warung Kak Jah. Masing-masing makan dengan penuh selera.

Usai makan, kami pulang dengan kekenyangan selepas melunaskan hajat perut masing-masing. Farid masih dengan matanya yang penuh dengan keinginan untuk tidur. 

Dan saya terus berfikir tentang jodoh saya yang tidak kunjung tiba. Bukan salah sesiapa. Hanya Allah Yang Lebih Mengetahui. Doakan saya.

Embun Melati,
Pasir Mas,
12.08 p.m.

1 comment:

Anonymous said...

Kena usaha ikhtiar dik.... jangan mengharap dan menunggu semata-mata.
Jalan alternatif cuba jumpa ustaz di kampong belahan tampok, rengit, batu pahat ni.
Sekadar berkongsi info...... Last Saya mengunjungi kediaman ustaz adi wijaya untuk perubatan traditional pada minggu lepas, selain dari nombor 013-7251546, watsapp ustaz adi wijaya adalah : 011-35109407