Monday, May 26, 2014

Home » , » Pelit | Dalam Jangka Masa Dua Puluh Sembilan Tahun

Pelit | Dalam Jangka Masa Dua Puluh Sembilan Tahun


Dua puluh sembilan tahun. 13 Mei 2014.

Ditambah satu menjadikan ia tiga puluh.

Angka tiga puluh yang sering ditakuti oleh mana-mana wanita yang masih belum berumahtangga. Banyak yang sudah dilalui ku rasakan. Biarpun di mata orang-orang tua lain aku masih juga mentah dalam hidup, aku tetap mahu mengatakan tajamnya duri sudah ku rasa, darah yang menyakitkan sudah mengalir, manisnya pengalaman sudah ku alami, pahitnya kenangan sudah ku sentuh. Walaupun masih belum cukup ranum, setidak-tidaknya ianya menjadi bekal buat umur-umur selanjutnya.

Dalam jangka masa 29 tahun ini, ada yang sudah ku raih, ada yang belum
dalam jangka masa 29 tahun ini, ada yang hilang, ada yang pergi, ada yang berganti
dalam jangka masa 29 tahun ini, ada yang derita-ku terluka, ada yang bahagia-ku ceria
dalam jangka masa 29 tahun ini, ada yang ku teka menjadi, ada yang tidak disangka ku alami
dalam jangka masa 29 tahun ini, ada yang buat ku menangis tak berhenti, ada yang buat ku senyum kembali
dalam jangka masa 29 tahun ini, ada harapan berkubur, ada impian ku gapai dan lentur
dalam jangka masa 29 tahun ini, ada sayang ku damba, ada kasih ku kalungkan rasa
dalam jangka masa 29 tahun ini, ada yang membenciku, ada yang mengagumiku
dalam jangka masa 29 tahun ini,susur galur perjalanan tiada siapa yang mengerti-kecuali(jika)kasut kita sama
dalam jangka masa 29 tahun ini, masih ada masa untuk ku renungkan semula
segala onak dan rencah hidup pelbagai rasa
dalam jangka masa 29 tahun ini, masih ada masa-selagi kita diberi nyawa oleh Allah Yang Esa.

Untuk yang masih dan sangat muda, jangan lah berasa kita sudah masak dengan rencah kehidupan. Setiap insan yang berada dan pernah bersama kita memberi seribu makna, hikmah dan pengertian. Belajar dan bermainlah dalam padang kehidupan ini dengan larian dan jalanan berlandaskan keikhlasan, kejujuran, kasih sayang. Setiap orang yang pernah tidak sengaja dihadirkan Allah dalam filem-filem hidup kita kadangkala menguatkan hati kita yang rapuh walaupun masanya tidak lama.

Adakala, kita hanya pandai bermain dengan kata-kata, mengatakan hidup ini haruslah saling memberi. Berkata memang lebih mudah daripada melakukan. Beringatlah di kala kita masih muda remaja sebagai bekalan untuk kedewasaanmu. Kerana kata-kata yang kita cipta mampu memakan diri kita sendiri. Hargailah dan gunalah masa mudamu dengan sebaiknya. Jangan mudah mendongak kepala ketika kita sudah berjaya dan berharta. Andai begitu terjadi, cepat-cepatlah menunduk kembali kepala dengan kerendahan hati kerana Allah.

Aku Dalam Jangka Masa 29 tahun,
Embun Melati
26 Mei 2014.

1 comment:

Hafizul Faiz said...

Aku hanya sempat mengucap "Selamat Hari Lahir" seorang diri tanpa kau mendengarnya....