Tuesday, July 31, 2012

Home » » Pasakkan Keyakinan Untuk Satu Perubahan

Pasakkan Keyakinan Untuk Satu Perubahan



Diriku...
dalam rancak kau menyiram taman hati insan lain
kau terlupa membajai taman hatimu sendiri
agar ia sentiasa segar dalam hubungan dengan Allah
tersentuh dengan daulat-Nya
merasa terpikul amanah ad-deen ini
bukan kerana kau berjemaah
namun kerana engkau di bawah perintah-Nya

Diriku...
seringkah kau mencari jalan
agar hatimu sentiasa lembut halus sentuhannya
agar sentiasa sedar akan keagungan-Nya
insafi kekerdilan, kelemahan, kealpaan & kesilapan dirimu

Ketahuilah diriku...
hatimu itu keras, khusyu'mu kurang
syukur & redhamu tidak banyak kau hadiahkan pada-Nya
terlalu banyak kurang & salahmu

Diriku...
tunaikanlah solatmu dalam khusyu' & tenang
muhasabahlah dirimu kala sunyi
selamilah kalam-kalam Al-Quran yang kau perjuangkan
padanya ada bekalan
untuk kau terus menongkah bahtera perjuangan ini

Diriku...
pada nawafil dan amalan sunat
ada jalan yang hampir untukmu berkasih sayang dengan Tuhanmu
pada qiamullail di keheningan malam
bersama bisikan doa dan munajatmu
diiringi esak airmata keinsafan dan keihlasanmu
kau akan temui kemanisan taqarrub di bawah duli kebesaran-Nya
di situ ada bekalnya...
lazimilah awal dirimu dengan al-Mathurat
pasti kau akan mengenali siapa dirimu sebagai daie

Diriku...
pada tawaddu', pada ukhuwwah fillah, pada infaq fi sabilillah
pada 'uzlah muhasabah diri, pada zikir selawat
ada ketenangan dan kekuatanmu

Diriku...
ketahuilah bahawa hanya hati yang hidup sahaja
yang bisa memberikan nafas kepada hati yang mati
hati yang turut mati tidak mungkin menyembuhkan hati yang sakit
apatah lagi menghidupkan hati yang mati

Diriku...
amanahlah kau di hadapan manusia kerana kedaulatan Tuhanmu
namun rasailah kekerdilan dirimu
di hadapan qudrat dan iradat-Nya


No comments: