Sunday, December 23, 2012

Home » » Cerpen | Abang Ajak..Cubaan Pertama Mengarang Serius

Cerpen | Abang Ajak..Cubaan Pertama Mengarang Serius


“Kalau Razak nikah lepas ni, kau kena pindah dari rumah ni dik. Kau tidak boleh tinggal di sini!”.

Maryam yang berada di suatu sudut ruang tamu sambil melayan kerenah anaknya, Aina tersentak dengan kata-kata Abang Ngah. Dia hanya membatu, mulut dikunci rapi dan matanya hanya memandang penuh sayu wajah abangnya, Razak. Aina yang tidak mengerti apa-apa hanya ketawa terkekek-kekek bermain dengan anak patungnya.

Abang Ajak merupakan anak ketiga daripada enam adik beradiknya. Sejak Maryam bercerai dengan suaminya setelah lima tahun melayari rumahtangga, dia menetap dengan abangnya yang seorang ini kerana dia masih bujang. Perit jerih hanya dia yang tahu. Memegang status janda seolah-olah memikul batu berat di bahunya. 

Abang Ajak sudah melangkau umur 46 tahun tetapi sedikit ralat bila dilihat tarikh pada kad pengenalannya, dia berumur 43 tahun. Ya, ada kisah di sebaliknya. 

Dua puluh tahun dahulu Abang Ajak pernah bertunang namun kecundang apabila kad perkahwinan bekas tunangnya sampai ke tangannya selepas baru sahaja tiga hari ibu mereka meninggal dunia. Beberapa tahun selepas itu, ayah mereka juga menghembuskan nafas terakhir. 

Mengingatkan noktah hitam itu, Maryam amat mengerti abangnya lebih menderita daripada hidupnya. Sekurang-kurangnya dia pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak kandung dan anak angkat. Kedua-duanya perempuan tetapi anak sulungnya itu dirampas oleh bekas suaminya sendiri.

Kira-kira jam enam petang Abang Ngah pulang kembali ke kota usai perbincangan mereka bertiga mengenai hasrat Abang Ajak yang ingin menamatkan zaman bujangnya. 

Malam itu selepas pulang dari masjid, Razak dan Maryam menyambung perbualan mereka, melerai yang tersirat di hati.

“Maryam, maafkan abang dik. Sungguh tidak pernah terniat di hati abang untuk menghalau adik abang sendiri, malah abang bersyukur adik tinggal di sini, menemani hari-hari sunyi abang di rumah tua ini," Abang Ajak memulakan bicara.

“Ini rumah kita. Rumah pusaka arwah ayah dan mak yang mereka amanahkan pada abang untuk terus tinggal di sini agar kita adik beradik tidak pernah putus hubungan,"sambungnya lagi.

Razak dapat lihat titis-titis jernih menuruni dari mata bundar adiknya.

“Tidak mengapa abang, aku mengerti abang bukan begitu. Cuma aku saja yang mudah tersinggung dengan cakap-cakap Abang Ngah," Maryam membalas dalam sendu.

“Jika abang mahu menikah dengan gadis itu, aku tidak ada halangan. Dan keluarga kita memang tidak ada sebarang masalah untuk menerima gadis itu. Cuma persetujuan pihak keluarga dia saja kita tidak tahu. Dia belajar tinggi dari kau abang, ilmu agama juga lebih, ada kerjaya. Kau hanya kerja kampung, dapat hasil sawit sedikit dari kebun arwah ayah,"Maryam bersuara lebih tenang.

“Kau terangkan saja keadaan kau sebenarnya, tak perlu selindung apa-apa daripadanya. Kalau dia sanggup hidup susah dengan kau, aku rasa tidak ada masalah. Cuma kau dengan dia perlu banyak bersabar dengan konflik-konflik yang bakal timbul,"Maryam cuba memberi cadangan.

“Abang, kau kena berubah banyak. Cuba lah cari kebahagiaan untuk diri kau. Kalau tak cuba, kita tidak akan tahu. Kau tengok saja lah aku, aku tidak bekerja juga, belajar pun setakat SPM tapi dapat juga aku kahwin dengan seorang lelaki yang punya banyak kelebihan daripada aku. Namun apakan daya, kemewahan yang dia kejar, maka kemewahan la dia dapat, lalu aku ditinggal sendiri merempat.”

“Aku tengok gadis yang kau suka tu ok saja. Tak nampak macam orang pekan pun. Seolah sudah biasa berada di kampung. Aku rasa dia ok, boleh terima diri kau abang," Maryam memberi pendapat lagi.

Maryam sedar abangnya tidak berhenti berkorban demi keluarga, mak ayah  dan adik beradik mereka. Abang Ajak ‘dikorbankan’ cita-citanya oleh arwah ayah mereka sendiri berdasarkan dua sebab. 

Sebab pertama kehidupan mereka sekeluarga sangat susah. Sebab kedua kerana penyakit paru-paru berairnya sejak dari kecil. 

Ayah tidak mampu untuk membiayai pembelajaran Abang Ajak walaupun dia mendapat tawaran untuk belajar di sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Izzuddin Shah sementelah pada waktu itu Abang Long dan juga Abang Ngah sedang belajar di universiti. 

Malah bukan itu sahaja, ayah risaukan Abang Ajak, takut-takut sakitnya makin melarat. Abang Ajak selalu saja pengsan tidak sedarkan diri. Hospital jauh, memakan masa sehingga sepuluh jam jika berulang alik dari sini ke sana.

Kemudahan pengangkutan waktu dahulu tidak seperti zaman sekarang. Dahulu terpaksa berjalan kaki atau menaiki bot untuk ke pekan bagi keluarga yang susah hidupnya. Itu lah sebabnya berulang alik dari satu tempat ke satu tempat memakan masa yang panjang.

Tambahan lagi himpitan kewangan mereka sekeluarga membuatkan ayah tidak mampu menanggung kos perubatan Abang Ajak. Lalu, abang terpaksa dibiarkan sakitnya tanpa ke hospital.

Kehidupan keluarga mereka umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ayah melakukan pelbagai kerja untuk menyara keluarga. 

Pernah ayah mengambil upah mengangkut tandan kelapa dan Abang Ajak pada masa itu hanya berumur 15 tahun, diminta oleh ayah untuk menolongnya. Bayangkan remaja muda sepertinya mengangkat bertandan-tandan kelapa. Digagahinya juga demi ayah. 

Apa yang menyedihkan, akibatnya sekarang Abang Ajak mengalami kecederaan pada tulang belakangnya. 

Boleh dikatakan tiap-tiap hari Abang Ajak sakit. Sesak nafas, kejang otot, ulser perut dan rasa ngilu pada tulang belakang sudah jadi 'makanan' nya dari dahulu hingga sekarang.

Menurut kata doktor, oksigen dalam darah Abang Ajak juga tidak berfungsi dengan baik. Abang Ajak sudah hilang banyak antibodi. 

Duit hasil kebun sawit yang arwah ayah tinggalkan itu saja dapat Abang Ajak gunakan untuk menampung kos perubatannya sejak dua puluh tahun yang lalu. 

Hendak bekerja sepenuh masa pun dia sudah tidak mampu, hanya memberi upah kepada orang lain untuk memotong buah sawit di ladang. Yang selebihnya berapa sangat yang dia dapat. Separuh disimpan untuk kos perubatannya dan separuh lagi untuk keperluan Maryam.

Masih ingat kenapa umur Abang Ajak 43 tahun tertera pada kad pengenalannya? Sebenarnya mak dan ayah menyangka umur Abang Ajak tidak akan panjang disebabkan penyakit paru-paru berairnya sejak bayi lagi.

Ketika umur Abang Ajak 3 tahun, barulah ayah mendaftarkan nama Abdul Razak Bin Seman di Jabatan Pendaftaran Negara.

Suatu ketika dahulu Abang Ajak pernah menyepikan diri dari keluarga. Kecewa dengan hidupnya. Kecewa dengan tohmahan adik beradiknya sendiri, menghina dirinya yang tidak punya apa-apa, harta mahupun segulung ijazah. Tiada apa-apa pada dirinya yang boleh dibanggakan lantaran ketidakmampuannya.

Hanya bekalan ilmu agama dan amanah mak ayah saja tersemat kemas di dadanya.

Tiga tahun selepas itu, Abang Ajak kembali semula ke pangkuan keluarga. Kesemua adik beradik senyap seribu bahasa dan mak menangis teresak-esak bila Abang Ajak mula bersuara, menyatakan kekecewaannya. Mak malu dengan Abang Ajak. Sewaktu kecil dahulu, Abang Ajak pernah dicampak keluar jendela oleh mak akibat terlalu tertekan dengan sakit abang yang tidak putus-putus. 

Namun, Abang Ajak yang tidak mempunyai apa-apa itulah yang berkorban apa sahaja demi keluarga. Maryam kagum dengan Abang Ajak kerana dia punya hati yang tulus dan ikhlas mencurah pengorbanan. 

Abang-abang dan kakak Maryam semuanya berjaya. Mereka semua mendapat didikan agama yang cukup, masing-masing beroleh segulung ijazah dan juga memiliki pekerjaan yang bagus. Itu semua berkat pengorbanan Abang Ajak membantu ayah menampung pengajian adik-adiknya.

Semasa umur Abang Ajak masih 20 an dahulu, pelbagai tempat Abang Ajak merantau mencari rezeki untuk menanggung pelajaran adik-adiknya yang masih bersekolah, membanting tulang untuk membantu ayah di kampung, termasuklah bekerja di kilang.

Tidak lama kemudian mereka mendapat berita mak sakit berat di kampung. Abang-abangnya sudah mempunyai komitmen keluarga masing-masing. Kakaknya dan dirinya pula bersekolah jauh tinggal di asrama. 

Maka Abang Ajak saja yang sanggup korbankan punca rezekinya demi untuk menjaga mak yang sakit di kampung. Mendengarkan perkhabaran buruk tersebut, Abang Ajak memberi notis berhenti kerja 24 jam kepada bosnya.

Itu lah abangnya. Abang Ajak yang menjaga mak dan ayah dengan penuh kasih sayang. 

Ah, bercerita mengenai pengorbanan demi pengorbanan yang Abang Ajak telah lakukan tidak akan pernah habis. Dia lebih pentingkan orang lain daripada dirinya sendiri.

Malam itu, kerlipan bintang dan sinaran bulan menjadi saksi  kehidupan mereka. Unggas berirama, mengalun melodi pilu seolah turut merasai keperitan hidup anak kampung Tanjung Sari.

Dan malam itu juga..

“Wafa sanggup menikah dengan abang. Dari awal Wafa kenal abang sampai sekarang, Wafa tahu abang mampu jadi seorang suami untuk diri ini. Hati abang. Hati abang yang tawan hati Wafa. Keikhlasan dan ketulusan.”

Razak memandang sistem pesanan ringkas dengan penuh libang libu. Bukan kah dia sepatutnya berasa gembira?

Bukan kah ini sekelumit bahagia yang dia inginkan selama ini? 

6 comments:

Anem Arnamee said...

Abang Ajak ni, terima tau wafa tu .

Eh. akak sayang. teruskan menulis secara serius. nampak kemas penulisan akak . Kalau tambah elemen santai, lagi comel :)

sayang akak , jaga diri :)

Unknown said...

Anem Arnamee:

Terima kasih sudi terima Wafa ye..kikiki..

Elemen santai macam mana ya?Akak masih baru lagi menulis,banyak yang kena belajar..hehee

Sayang Anem juga..Terima kasih singgah ke sini..:)

Unknown said...

abg ajak yg banyak berkorban.....
sebak pula remy rasakan..... begitulah kehidupan....
nice story kak.....

btw....cinta yg sunyi dan ikhlas.... pasti ada cahaya kebahgiaan.....

Unknown said...

Remy Hazza:

Kita sepatutnya amat bersyukur kerana hidup kita lebih baik daripada orang lain..

Beruntung kan Abang Ajak jika jodohnya dengan Wafa..:)

TiranaAduka said...

salam embun melati.
Kisah yg menarik..best la cerita ni..
Maaf bertanya.

Adakah ini kisah sebenar embun melati.

Unknown said...

Tirana Aduka:

Ini bukan kisah saya. Kisah insan lain yang saya cuba garap menjadi satu cerpen..:)

Terima kasih sudi singgah sini..:)