Nota Besar : Entri terbaru ini hanya lah sekadar entri suka duka. Ia merupakan kesinambungan entri saya INI.
Ujian Itu Beri Hikmah Atau Beri Lemah?
Hampir patah hati saya mencari teman untuk ke Panggung Bandaraya Kuala Lumpur. Untuk pasrah ke sana sendiri pada waktu malam saya sungguh tidak berani walaupun memandu kereta Proton Saga FL caffe latte saya.
Sebenarnya saya memang tidak pernah sekali pun ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta. Hanya pernah menggunakan pengangkutan awam seperti bas, LRT, komuter, monorail dan STAR jika menjejakkan kaki ke sana.
Jujur saya akui, saya memang tidak suka bandaraya Kuala Lumpur kerana kebanjiran manusia dan kepadatan bangunan dari dulu hingga lah sekarang. Itu faktor pertama. Faktor kedua disebabkan trauma zaman kanak-kanak saya terhadap orang India yang tidak boleh saya kongsikan di sini.
Berbalik kepada pencarian teman untuk menemani saya ke sana kembali. Rata-rata teman sepejabat tidak dapat menemani saya berikutan status 'TIDAK PASTI'. Maka saya anggap mereka tidak dapat menolong saya di atas sebab-sebab tertentu.
Allah uji saya awal-awal lagi.
Saya hiba. Dusta jika saya kata saya tidak menangis.
Saya pujuk hati saya dan terus berdoa. Akhirnya Allah hantar dua orang sahabat untuk menemani saya ke sana iaitu Zila dan Rosli. Mereka berdua ini lah yang bersusah payah ke sana sini dengan saya sepanjang perjalanan.
Pertama kali menyusur jalan ke Kuala Lumpur, ditemani adik-adik yang sangat baik buat saya berani dan yakin. Sebagaimana yang telah dijangka, jalan raya penuh dengan kenderaan. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam daripada Taman Melati walaupun destinasi bukan jauh sangat sepertimana masa yang telah diperuntuk.
Selepas dua kali kami berlegar-legar mencari parkir di sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad, akhirnya saya membuat keputusan untuk parkir seketika di hadapan Dataran Merdeka. Saya lihat ada beberapa orang pelancong bergambar kenang-kenangan sesama mereka di tempat tersebut.
Kemudian, kami bersama-sama menuju ke Panggung Bandaraya dengan berjalan kaki. Di hadapan pintu utama tertera banner 'Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Esei Jawi 1Malaysia'. Pada mulanya saya mahu meluru masuk ke dalam panggung tetapi saya pusing kembali ke arah kaunter.
"Assalamualaikum. Raptai masih ada?", saya bertanya pada seorang wanita di kaunter.
"Raptai sudah habis dik. Siapa nama adik?", balas wanita itu sambil tersenyum.
"Fatini Fauzi", saya memberitahunya.
"Oh Fatini. Maaf ye adik, raptai tadi sekejap saja, tak lama. Adik boleh daftar dulu tapi malam ni pastikan adik datang balik sebelum jam lapan malam", dia menerangkan kembali.
"Ye ke. Saya baru sampai. Jalan jam sangat tadi.. Oh ya, dekat sini ada surau tak?", saya menghulurkan pertanyaan lagi.
"Maaf adik, kat sini memang tidak disediakan surau", dia memohon maaf sekali lagi.
Kami bertiga memandang satu sama lain. Seolah memahami perasaan dan persoalan dalam diri masing-masing.
Hari tersebut bukan saya saja diuji, kami bertiga. Kami keluar dari situ dengan kecewa. Kenapa tidak disediakan surau sedangkan tandas boleh? Kenapa?
Walaubagaimanapun kami masih bersyukur kerana pihak urusetia menghulur makanan petang untuk kami bertiga. Kami makan dengan agak laju kerana masih belum menunaikan solat asar.
Selepas makan, kami menuju ke kereta kembali. Saya mencari parkir yang agak selamat dan paling dekat dengan destinasi. Kami ke PB semula untuk mengambil beg sandang saya yang telah tertinggal. Nasib saya baik kerana beg itu masih berada atas kerusi. Alhamdulillah.
Kemudian kami berjalan kaki lagi menuju ke Masjid Jamek. Ujian lagi bila Masjid Jamek ditutup atas sebab kerja-kerja penambahbaikan sedang dilakukan.
Kami meneruskan langkah kaki ke Masjid India pula. Itu lah pilihan kami terakhir. Sepanjang langkah saya berdoa :-
"Ya Allah mudahkan urusan kami. Mudah kan kami untuk menunaikan kewajipan kami yang satu ini"
sambil diiringi dengan zikir.
Dengan kehendak Allah jua kami dapat juga melunaskan kewajipan menunaikan solat. Kami melepaskan lelah seketika selepas solat Asar sambil menunggu juga masuknya waktu maghrib.
Selesai saja solat maghrib, kami bergegas kembali ke PB. Kira-kira dalam sepuluh minit kami tiba. Saya meminta saja Rosli menunggu di pintu masuk PB, manakala saya dengan Zila menuju ke kereta kembali untuk membuat transformasi pada diri saya. Keadaan begitu sukar tapi syukur dengan bantuan Allah, saya dapat selesaikan dalam masa 20 minit.
![]() |
| Sekitar gambar sebelum majlis berlangsung dan selepasnya. Selesai majlis penyampaian, ada persembahan teater bangsawan bertajuk: 'Dendam Tantari' |
Terima kasih Allah.
Terima kasih adik-adikku Zila dan Rosli. Mereka pengganti keluarga saya berkongsi kegembiraan.
Tidak lupa juga kepada Nyssa yang sudi meminjamkan kamus jawi terbitan DBP kepada saya serta teman-teman lain yang mendorong saya dan berdoa untuk saya.
Usaha, Doa, Tawakkal dan Syukur.
Saya sedar Allah tidak mahu saya melakukan sesuatu tanpa usaha dan doa. Untuk mendapatkan sesuatu yang kita inginkan, tidak semudah itu kita akan dapat. Jalan-jalannya pasti ada liku dan cabaran.
Bila saja saya mendapat perkhabaran saya mendapat tempat saguhati dalam pertandingan tersebut, ianya juga tidak mudah untuk saya menghadiri majlis penyampaian hadiah. Juga Allah hadirkan ujian dan dugaan buat saya.
Maka, ini lah hasilnya. Rezeki yang datang tidak disangka-sangka. Rezeki untuk saya menyambung pelajaran di peringkat sarjana pada awal tahun depan (ini hikmah yang saya nampak). Bilamana kita memasang niat yang baik, mesti Allah kurniakan yang baik-baik.
Apa yang paling penting USAHA >DOA >TAWAKKAL > SYUKUR.
Apa pun, bukan saya sahaja yang mendapat saguhati. Seramai tujuh orang dalam setiap kategori mendapat hadiah berupa wang tunai, komputer riba, sijil dan juga buku dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Pelajaran Malaysia, Utusan Melayu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pertandingan ini terbuka kepada tiga kategori iaitu Kategori A, B dan C.
Mungkin selepas ini rezeki anda pula di luar sana?
InsyaAllah sama-sama kita usaha.


7 comments:
ALHAMDULILLAH.....
ada rezeki dan ada juga dugaan yg diberi..... hidup camtulah...kekadang mudah kekadang sukar menghampiri..... kena kuat semangat...
tahniah dari remy..
Remy Hazza:
Syukur alhamdulillah..Allah mahu kita bergantung sepenuhnya pada Dia..Allah sememangnya sudah tentukan yang terbaik untuk kita..
Terima kasih Remy..:)
tahniah dpt smbung !
alhamdulillah..
Fyqa:
Alhamdulillah..terima kasih..:)
Ayie:
Memang tak jauh tapi bila kita dalam keadaan menghambat waktu yang kian singkat tetap akan rasa jauh..Lagi2 jika mahu solat..
Kenapa surau tidak ada di LRT atau STAR sekitar situ?Itu yang saya hairan.
Kecewa pun ada. Jujur memang saya tidak suka ke bandar KL..huhu
tahniah!! kagum sgt .. =)
Lumut:
Terima kasih..terharu sangat kau sudi singgah ke sini..:)
Post a Comment