Saturday, February 15, 2014

Home » » Pelit | Sangkar Rasa

Pelit | Sangkar Rasa

Assalamualaikum.

Sepi.

Blog saya ini sudah sekian lama terbiar. Terkadang semangat untuk menulis hampir tidak ada. Sekejap saja perasaan berkobar itu datang, kemudian hilang begitu saja. Keinginan tetap ada, namun entah kenapa jari saya jadi kaku untuk mengetip papan kekunci.

Puisi.

Sudah lama tidak mengarang sebegini. Jika anda sedar (jika ada yang masih sudi membaca), blog saya akhir-akhir ini dipenuhi dengan puisi. Saya mengarang puisi ketika saya dilanda kesedihan, saat tiada kawan yang sudi menadah telinga sehingga panas untuk saya kongsi lara hati. Hanya Allah tahu. Dan segala rasa itu saya cuba kurangi melalui puisi. Terjemah lah apa saja maksud puisi saya. Inti sebenar hanya Allah dan saya saja yang tahu.

Dunia maya.

Adakalanya, saya jengah blog penulis lain untuk membaca dan mencari perkembangan terkini mereka. Mungkin juga sudah adat dunia maya, jika kita tidak bertemu di dunia nyata, payah sekali untuk mengekalkan momentum bertegur sapa dan bertanya khabar. Kadang-kadang ianya datang dari sebelah pihak. Jika jiran sebelah tidak menegur, kita akan diam seribu bahasa. Jika kita bertanya, baru mereka memberi jawapan. Namun, terkadang langsung tiada jawapan. Blog saya kini tiada sebarang komen di ruangan kotak komen, tiada lagi yang bertanya, juga tiada lagi jawapan. Malah kosong sekosongnya. Sepi tanpa sapaan sesiapa. Bukan mengharap glamor atau terkenal, cuma mahu berkawan dan berbual, mengisi hari-hari saya yang semakin tua. Berkongsi ilmu dan rasa. Dahulu, saya begitu rapat dengan ruangan maya ini kerana kemeriahan teguran dan sokongan penulis-penulis lain. Tahun demi tahun, ia semakin pudar, semakin perlahan ditelan masa.

Berubah.

Apa saja boleh berubah. Manusia dan benda sama saja. Semuanya bersifat sementara. Perubahan itu kadang menyakitkan, memaksa kita untuk membuat sesuatu yang kita tidak suka. Tetapi perubahan juga mengajar kita erti sabar dan redha menerima sesuatu yang pahit demi hasil yang manis.

Menguji atau teruji.

Membawa diri jauh dari sesiapa saya kira boleh menguji, malah dalam masa yang sama teruji dengan situasi yang kita pilih untuk hadapi. Mungkin betul orang kata, bila kita berada jauh, ada yang merindu. Bila dekat, ada yang buat tak tahu. Kasih sayang teruji bila berjauhan, juga mungkin hambar bila berdekatan. Akhirnya, saya tetap juga mengalami hal yang sama. Sendirian mengatur hidup agar terbela, agar tidak membebani mana-mana pihak. Namun, saya masih juga manusia biasa. Menangisi diri sendiri yang masih dibaluti kesepian. Mengharap dan mengimpikan teduhan kasih buat menemani hidup saya hingga akhir hayat. Apa pun saya tetap bersyukur kerana Dia masih sudi mengawasi dan menghulur bantuan dalam bentuk kemampuan saya sendiri. Dia lah menguatkan semangat saya untuk terus bergerak dan tidak mengaku kalah walaupun mulut seringkali menyebut tidak mampu.

Tidak pasti..dalam sangkar rasa apa. Tetapi tetap ku mahu ingatkan:

Beristighfar lah kita sentiasa. Kerana ujian sentiasa hadir dalam pelbagai bentuk buat menghapus dosa.

Embun Melati,
Putrajaya,
14 Februari 2014.

3 comments:

Faaeinz said...

Betul sangat apa yang sis luahkan itu. Jika dulu, blog itu juga meriah buat saya. Sering bertegur sapa walaupun tak pernah jumpa di dunia nyata. Tapi dari hari ke hari, bulan ke bulan, tahun ke tahun, ia semakin redha bagaikan belum pernah lagi bertegur sapa.

Sama jugalah dengan diri ini. Mula-mula rasa nak aktifkan balik blog ni. Tapi lama-lama kekadang terlupa juga.

Unknown said...

Faarihin:

Terima kasih kerana masih sudi bertegur sapa denganku di sini.

Mungkin sebab kita sudah perlahan dalam dunia blog, maka kemeriahan yang kita rasai dulu sendiri makin hilang.

Anonymous said...

salam
Ada je ni..ta .. Tak mo la sedey tau
http://aku-saya-alam.blogspot.com