Wednesday, December 19, 2012

Home » » Pelit | 'Mati' 'Hidup' Kembali'..Entah Menjadi ke Tidak Pelit Aku Ini..

Pelit | 'Mati' 'Hidup' Kembali'..Entah Menjadi ke Tidak Pelit Aku Ini..


Sumber gambar dari Google.

Aku mengunjurkan kaki ke bawah kerusi. Meluruskan badan ke sebelah kiri. Kemudian ke sebelah kanan pula. Beberapa kali begitu supaya aku mendapat postur yang selesa untuk aku melelapkan mata.

Begitu setiap kali aku sakit, aku akan mengunjungi surau kecil di pejabat walaupun waktunya masih pagi. Mungkin ada mulut-mulut akan berkata aku ini pemalas dan suka tidur.

Mungkin. Itu telahan aku.

Kerana minda aku bertindak balas dengan cepat mengatakan "hanya Dia dan diriku memahami derita sakit fizikal dan batinku"

Aku tidak tahu sudah berapa lama aku 'mati' di satu sudut di bahagian hujung surau kecil itu. Aku 'hidup, kembali terawang-awang sendiri, mendengar suara seorang kanak-kanak kecil berbicara penuh semangat dengan mata yang masih terpejam.

Kemudian aku 'mati' lagi lalu bermimpi.

Dalam mimpi, aku bangun dan melihat kanak-kanak itu berlari-lari dalam surau sambil memegang sebatang pen. Di atas salah satu sejadah, aku lihat teman sepejabat aku baru saja selesai menunaikan solat Dhuha.

Tiba-tiba kanak-kanak tersebut lajukan lariannya menuju ke arah teman sepejabat aku. Dia mengacukan pen ke muka temanku dengan niat untuk menconteng pipinya.

Aku bangun berdiri sebelum sempat kanak-kanak itu menconteng dakwat pen ke pipi temanku. Aku memarahi kanak-kanak tersebut. Kami berebut pen. Dia tidak mengalah dengan aku. Lalu berlaku adegan tarik menarik antara kami berdua.

Adegan itu berterusan sehinggalah mata aku tidak semena-mena terbuka.

Ah mimpi saja!

Beberapa minit selepas itu, aku bangun dan duduk bersila mengadap dinding. Agak mamai.

Aku pusing ke belakang dan aku dapat lihat dengan jelas wajah kanak-kanak dalam mimpi aku tadi. Tetapi kali ini dia tidak berseorangan. Dia bersama dengan kakaknya.

Balqis dan Zahra. Mana mungkin aku tidak mengenali mereka kerana mereka pernah menaiki kereta aku bersama adik beradik yang lain serta ibunya iaitu teman sepejabat aku. Kami beriringan ke walimah sahabat kami di Kapar suatu ketika dahulu.

Mimpi dan realiti. Bagaimana wajah dalam mimpi boleh nyata di alam realiti sebaik saja kita bangun dari mimpi? Ada penjelasan kah di situ?

Ok aku sudah mula pening.

Narasi di atas hanyalah cerita pagiku di pejabat. Ianya berlegar-legar dalam mindaku bila mata aku sekarang sudah tidak mahu bekerja dengan baik.

Pukul 1.30 pagi aku sedar dari tidur lagi. Aku ingat aku tidak akan 'hidup' kembali setelah menghempaskan  tubuh ke atas katil pada jam 9.30 malam. Badan panas dan kepala sakit.

Namun pada jam 1.30 badan aku peluh banjir, meminta-minta angin kipas menghala ke arahku. Aku bangkit dan memusing kepala kipas kira-kira 90 darjah, tepat mengena ke arahku.

Aku mengiring ke sebelah kiri agar angin kipas dapat mengeringkan peluhku dari bahagian belakang. Aku pejamkan mata lagi.

Buka mata.

Pejam mata.

Buka mata.

Pejam mata.

Buka mata.

Kali ini aku pasrah. Mungkin Rabbul 'Izzati mahu aku mengadap Dia. Tambahan perut aku bergendangan mendesak dikeluarkan isinya.

Sudah agak lama aku tidak qiamullail. Sememangnya hati aku tengah kosong semenjak dua menjak ni. Meronta-ronta minta dihilangkan segala gundah gulana.

Namanya manusia, sentiasa saja mahu mencari manusia dahulu untuk merungkai kesedihan. Dan akhirnya kita kembali juga kepada-Nya.

Sepatutnya Dia yang kita aula, bukan makhluk yang kita puja. Lemahnya iman hambamu ini!

Aku bergegas ke 'bilik termenung'. Kenapa 'bilik termenung'? Bukan kah majoriti daripada kita selalunya termenung dan memikirkan perkara yang entah apa-apa dalam 'bilik' tersebut? Adakalanya ilham terhasil daripada ketermenungan kita itu.

Dan aku yakin ilham yang didapati daripada 'bilik termenung' itu hanyalan mainan syaitan. Tempat kotor yang  suka didiami oleh para jin dan syaitan.

Maka untuk mengelakkan diri daripada termenung ketika melepas jahat yang telah lama terbendung, amalkan selalu membaca doa sebelum masuk ke dalam tandas dan juga keluar daripada tandas.

Kira-kira selepas 20 minit aku keluar daripada tandas, lantas mengambil wuduk dari pili bawah ampaian baju. Masih kedengaran lagi suara gelak ketawa jiran yang belum tidur. Mungkin menonton siaran bola. Atau esok mereka cuti dari bekerja. Atau suara han......

Sempat lagi aku fikir bukan-bukan ketika berwuduk. Aduhai.

Usai berwuduk, aku kembali ke bilik tidur. Kemudian melabuhkan punggung perlahan-lahan atas katil untuk meneguk air mineral Cactus. Kering sungguh tekak dan pedih. Lagi kering bila mata ikan timbul di bahagian dalam kanan lidah.

Aku melihat jam di telefon bimbit. Sudah bergerak ke angka dua pagi. Aku menarik telekung solat dan sejadah hijauku bercorak abstrak dari bidai besi lalu keluar dari bilik untuk bersolat di ruang tamu. Ruang tamu rumah sewaku agak luas. Jadi selesa untuk aku bernafas dan bergerak.

Oleh kerana kepalaku masih sakit dan badan agak panas akibat demam, aku memilih untuk solat secara duduk. Sememangnya badan aku terasa lemah sejak kelmarin lagi.

Aku mulai dengan solat sunat taubat.

Kemudian tahajjud.

Kemudian solat hajat.

Dan yang terakhir istikharah.

Menyerahkan jiwa raga pada Sang Pencipta adalah sebaik-baik jalan. Setidak-tidaknya jalan yang kita bakal lalui insyaAllah di bawah rahmatnya dan tidak tersadung dalam kegelapan. Manusia bukan tidak sedar bahawa Allah paling utama dan juga penentu segala perancangan, cuma kadang-kadang kita alpa dari mengenal Allah Yang Esa.

Aku menangis dalam hiba. 

Adakah diriku masih Kau pandang Ya Allah?

Dan akhirnya aku 'mati' sekali lagi pada jam empat pagi. Menelan segala bunyi ketukan lantai dari tingkat atas rumah sewa kedaiku.

"Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepadaNya kami akan kembali."

2 comments:

Unknown said...

sukar nya perjalanan hidup.....
penuh pancaroba..... penuh rintangan.....
semoaga Allah membuka ruang utk kita...amin

Unknown said...

Remy Hazza:

Aameen insyaAllah..:)